Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat didakwa langgar SOP lagi

0
296
Gambar yang tular di media sosial yang mendakwa Ahli Parlimen Batu Pahat itu melanggar SOP

CYBERJAYA – Selepas tular video terlibat dalam ‘pesta makan durian’ di sebuah kebun di Batu Pahat, Johor baru-baru ini, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon sekali lagi terlibat dalam kontroversi apabila didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP).

Dalam sebuah gambar yang tular menerusi akaun Facebook Mastor Abdullah, Ahli Parlimen Batu Pahat itu dirakam sedang menikmati hidangan makan malam bersama dua lagi individu di sebuah rumah inap desa (homestay), Ghandong.

Bagaimanapun, Setiausaha Sulit Kepada Ahli Parlimen Batu Pahat, Mohd Zaihan Mohd Zainal menafikan Rashid melanggar SOP sebaliknya sedang makan semeja sementara menunggu sesi sembelihan lembu korban.

“Beliau bersama-sama Datin Azizah Haron (isteri) dan anak bongsu beliau makan semeja sementara menunggu untuk sesi sembelihan lembu korban.

“Acara berlangsung di Pusat Penyembelihan di Rengit, Batu Pahat yang melaksanakan operasi sembelihan selama 24 jam sempena Majlis Korban tahun ini berdasarkan SOP yang ditetapkan kerajaan negeri Johor.

“Lokasi ini berada dalam kawasan Parlimen Batu Pahat manakala sesi sembelihan yang dilaksanakan oleh Datuk Rashid adalah pada jam 3 pagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebagai rekod, Rashid sebelum ini terlibat dalam pesta makan durian di Batu Pahat sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati banyak pihak.

Mengulas lanjut, Mohd Zaihan berkata,
selain menyumbang lembu, Ahli Parlimen Batu Pahat itu juga mahu menyembelih sendiri haiwan korban tersebut.

“Justeru, mengetahui jadual menyembelih lembu adalah pada jam 3 pagi maka Datuk Rashid dan keluarga telah menempah homestay atau rumah inap berdekatan dengan pusat sembelihan tersebut.

“Gambar yang sedang tular itu diambil awal pagi sebelum sesi penyembelihan tersebut bersama isteri dan anak beliau ketika menjamu hidangan ‘mentong’ (bahasa orang Johor) ataupun ‘supper’. Jadi, tidak timbul Datuk Rashid melanggar SOP,” ujarnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here