
CYBERJAYA – Kerajaan berpandangan semua tindakan yang diambil berhubung pembatalan ordinan darurat seperti yang disebut oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan adalah teratur dan selaras dengan peruntukan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.
Menurut Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan, Perdana Menteri menekankan bahawa dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab beliau, adalah penting untuk beliau bertindak mengikut lunas undang-undang dan perlembagaan.
“Pejabat ini mengambil maklum sebagaimana yang dizahirkan di dalam kenyataan media Istana Negara hari ini, Yang di-Pertuan Agong sedia maklum bahawa Seri Paduka Baginda Tuanku perlu menerima dan bertindak mengikut nasihat jemaah menteri seperti yang terkandung dalam Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan.
“Perkara 40 (1) memperuntukkan: Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang persekutuan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat jemaah menteri atau nasihat seseorang menteri yang bertindak di bawah kuasa am jemaah menteri, kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selainnya oleh Perlembagaan ini; tetapi Yang di-Pertuan Agong berhak, atas permintaannya, untuk mendapat apa-apa maklumat berkenaan dengan pemerintahan Persekutuan yang boleh didapati oleh jemaah menteri.

“Manakala Perkara 40 (1A) pula memperuntukkan: Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang persekutuan, jika Yang di-Pertuan Agong dikehendaki bertindak mengikut nasihat, atas nasihat, atau selepas menimbangkan nasihat, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Susulan itu, katanya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) dan Peguam Negara telah diarahkan untuk menghadap baginda pada 24 Julai lalu memberikan penjelasan terperinci mengenai nasihat tersebut.
Bagaimanapun, katanya, semasa Ordinan Darurat telah dibentangkan dalam Dewan Rakyat Isnin lalu, ahli-ahli Parlimen pembangkang telah mendesak supaya Dewan Rakyat mengungkaikan ordinan darurat yang telah dimasyhurkan oleh baginda.
Berikutan itu, katanya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) sebagai Menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal undang-undang telah memaklumkan kepada ahli Dewan Rakyat bahawa kerajaan, iaitu jemaah menteri, telah membuat keputusan untuk membatalkan ordinan-ordinan darurat berkenaan.
“Pemakluman itu telah menimbulkan persoalan mengenai status perkenan Yang di-Pertuan Agong ke atas Ordinan Darurat (Pembatalan) 2021. Oleh itu, Perdana Menteri dan Peguam Negara telah memohon menghadap Yang di-Pertuan Agong pada Selasa lalu untuk menjelaskan kedudukannya.
“Pada sesi menghadap ini, Perdana Menteri telah sekali lagi memberikan nasihat jemaah menteri mengenai pembatalan ordinan-ordinan darurat tersebut serta membuat penjelasan atas kekeliruan yang cuba ditimbulkan oleh pembangkang dalam sidang Dewan Rakyat.

“Perdana Menteri juga telah menyembah maklum pandangan kerajaan bahawa kesemua ordinan darurat tersebut tidak perlu diungkaikan oleh Parlimen memandangkan jemaah menteri telah pun menasihati Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk membatalkannya,” ujarnya.
Selain itu, katanya, sidang Parlimen yang berlangsung itu juga adalah Mesyuarat Khas yang diadakan di bawah Peraturan Mesyuarat 11 (3) Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat yang agendanya adalah penerangan menteri dan tiada sebarang usul untuk mengungkai ordinan darurat.
Oleh itu, katanya, jemaah menteri telah memutuskan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membatalkan ordinan darurat sebelum Mesyuarat Khas Parlimen bermula.-MT