
PETRA JAYA – Tindakan pantas sekumpulan penghantar makanan yang terjun ke dalam sebuah parit besar berjaya menyelamatkan satu keluarga daripada mati lemas akibat kemalangan di Jalan Cemar, Petra Jaya, Sarawak.
Menurut Balai Bomba Petra Jaya, dalam kejadian malam semalam itu kereta yang dipandu itu terbabas apabila cuba mengelak daripada bertembung dengan sebuah kereta yang keluar secara tiba-tiba di simpang.
“Berdasarkan laporan orang awam dan salah seorang penghantar makanan, lebih dari 12 orang termasuk riders Grab terjun ke dalam parit sedalam tujuh kaki dengan lebar empat kaki.
“Tindakan pantas mereka sebagai first responder adalah bagi mengelakkan air masuk kedalam kereta,” katanya dalam satu hantaran menerusi laman Facebooknya sebentar tadi.

Beliau berkata, tindakan pantas itu berjaya mengeluarkan seorang lelaki dewasa,seorang wanita dewasa dan dua orang kanak-kanak.
Katanya, kesemua mangsa di laporkan selamat dan mengalami trauma dan terus dihantar oleh unit EMRS ke hospital dengan segera.

“Kami dari Pasukan Penyelamat Petra Jaya khasnya dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak amnya mengucapkan ribuan terima kasih kepada orang awam yang terlibat khasnya kepada kumpulan riders Grab Food Kuching Sarawak,” ujarnya.-MT