
CYBERJAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menasihati agar kumpulan bantuan kemanusiaan ke Palestine (HM4P) pulang dahulu ke Malaysia.
Ismail Sabri berkata, ia susulan keadaan di Gaza, Palestin yang tidak stabil ketika ini dan kumpulan berkenaan boleh ke Gaza semula selepas keadaan kembali pulih.
“Saya mengadakan video konferensi bersama kumpulan bantuan kemanusiaan ke Palestine (HM4P) yang kini berada di Cairo, Mesir diketuai oleh Datuk Seri Azeez Rahim.
“Oleh kerana keadaan di Gaza masih tidak menentu, maka saya menasihati Datuk Seri Azeez dan team untuk pulang dulu ke Malaysia. InsyaAllah jika keadaan stabil mereka boleh ke Gaza semula.
“Kepada rakyat Malaysia yang di kasihi, setiap orang ada pengorbanannya, di dalam pengorbanan juga pasti ada ujian-Nya. Tetapi Allah itu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, Dia mengetahui setiap pengorbanan seorang insan.
“Setiap usaha dan pengorbanan itu dijadikan asbab kebahagian yang dapat untuk semua,” katanya dalam hantaran di laman Facebook semalam.
Misi HM4P bermula 19 Jun lepas dengan tujuan menyatakan solidariti rakyat Malaysia kepada warga Palestin selain menyalurkan bantuan kemanusiaan dalam bentuk kewangan, bekalan makanan dan ubat-ubatan kepada Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis, Tebing Barat dan warga Palestin terjejas di Gaza yang diserang tentera Israel pada Mei lepas.
Serangan rejim Israel ke atas wilayah Gaza yang berakhir dengan gencatan senjata pada 21 Mei lepas menyaksikan kemusnahan harta benda selain mengorbankan lebih 250 warga Palestin termasuk 66 kanak-kanak.