UMNO tarik semula sokongan kepada Muhyiddin serta merta

0
391
Dr. Ahmad Zahid

CYBERJAYA – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan bahawa UMNO menarik semula sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin secara serta merta.

Beliau berkata, justeru itu UMNO mendesak Muhyiddin berundur secara terhormat bagi membolehkan seorang Perdana Menteri baharu dilantik untuk satu tempoh yang terhad.

“Memenuhi mandat sebulat suara para perwakilan di Perhimpunan Agung UMNO 2020 dan berpandukan kepada tujuh kegagalan kerajaan memenuhi aspirasi rakyat yang digariskan, maka tempoh memberikan sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yasin selaku Perdana Menteri ditarik balik dan ditamatkan serta merta.

“Justeru, UMNO mendesak agar beliau dapat berundur secara terhormat bagi membolehkan seorang Perdana Menteri baharu dilantik untuk suatu tempoh yang terhad,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Terdahulu berlangsungnya Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dibuat secara atas talian malam semalam.

Mengulas lanjut, katanya, tempoh Perdana Menteri yang baharu akan hanya memfokuskan usaha membantu kebajikan rakyat sepanjang pandemik, menangani Covid-19 dengan pendekatan inklusif dan memastikan proses vaksinasi dan imunisasi dapat disegerakan.

Beliau berkata, setelah berjaya mencapai tahap imunisasi kelompok, Perdana Menteri baharu mesti segera menasihati Yang di-Pertuan Agong bagi menyerahkan kembali mandat kepada rakyat untuk diadakan Pilihan Raya Umum Ke-15.

Katanya, langkah itu penting bagi membolehkan sebuah kerajaan yang benar-benar stabil dan memperoleh mandat majoriti rakyat diwujudkan

Sementara itu, menyentuh mengenai tujuh kegagalan tersebut, Ahmad Zahid berkata, antaranya ialah kegagalan kerajaan menangani pandemik Covid-19 secara berkesan sehingga mencetuskan keresahan dan kemurungan serius rakyat serta menyalahgunakan darurat sebagai muslihat politik hingga memudaratkan rakyat dan ekonomi negara.

Selain itu, katanya, kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri juga gagal menguruskan bantuan dan tuntutan rakyat secara berkesan untuk semua peringkat dan kategori termasuk tuntutan Moratorium 2.0 tanpa caj/faedah terakru.

“Kegagalan kerajaan mengurus kestabilan politik dan ekonomi hingga mewujudkan ketidakyakinan pelabur terhadap kemampuan menguruskan negara dan pandemik. Indeks Pengendalian Covid yang dikeluarkan Bloomberg meletakkan negara di tempat ketiga paling corot antara 53 negara ekonomi utama.

“Selain itu, kegagalan kerajaan yang jelas memperkotak-katikkan titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah hingga terpaksa berulang-kali mengeluarkan kenyataan media dan titah mengadap supaya Parlimen dibenarkan bersidang dan membahaskan Ordinan-Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara.

“Selaku parti yang menjadi benteng utama membela Institusi Raja-Raja Melayu sebagaimana Fasal 3 Perlembagaan UMNO, UMNO tidak boleh berkompromi dengan sikap biadap kerajaan terhadap Institusi Raja,” tegasnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here