
KUALA NERUS – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZa) menafikan tawaran suntikan vaksin Covid-19 secara ‘walk in’ di Pusat Suntikan Vaksin (PPV) Integrasi UniSZA seperti yang tular di media sosial.
UniSZA dalam satu kenyataan berkata, pemberian vaksin secara walk-in tidak pernah dilakukan di semua PPV termasuk di PPV IPT UniSZA di Gong Badak, Terengganu.
Katanya, proses suntikan hanya diberikan kepada mereka yang mempunyai temu janji melalui aplikasi MySejahtera dan pihak pengendali PPV itu tidak pernah menawarkan suntikan selain cara itu.
“Individu yang dipilih menerima suntikan vaksin Covid-19 akan dimaklumkan melalui notifikasi di aplikasi MySejahtera, khidmat pesanan ringkas (SMS) atau panggilan telefon,” kata kenyataan itu.
Sehubungan itu, UniSZA menasihati orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dengan berita palsu dan tidak hadir ke PPV berkenaan tanpa memiliki tarikh temu janji.
“Janji temu suntikan vaksin boleh dibuat dengan mendaftar melalui laman sesawang Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (vaksincovid.gov.my), aplikasi MySejahtera dan talian hotline 1-800-888-828,” katanya.
Semalam, tular satu pesanan WhatsApp memaklumkan orang ramai boleh mendapatkan suntikan vaksin secara terus di UniSZA berikutan universiti itu menerima 400 vaksin baharu.