Vaksinasi sehari atasi 300,000 dos tiga hari berturut-turut

0
12
Datuk Seri Dr. Adham Baba

CYBERJAYA – Pemberian vaksin Covid-19 di negara ini terus mengatasi jumlah disasarkan kerajaan iaitu 300,000 dos sehari buat tiga hari berturut-turut.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) mencapai rekod tertinggi semalam dengan jumlah 375,842 dos dan 313,761 dos sehari sebelumnya.

Beliau berkata, jumlah terbaharu penerimaan vaksin di seluruh negara kini berjumlah 10,036,361 orang iaitu
6,999,554 penerima dos pertama dan 3,036,807 penerima dos kedua.

“Tiga hari berturut-turut, kadar pemberian vaksin telah mencatat angka lebih 300,000 dos sehari.

“Jumlah pemberian dos sudah hampir mencapai angka 400,000 dos sehari. Ini satu pencapaian yang baik ke arah pencapaian imuniti kelompok di Malaysia,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Selangor mencatatkan pemberian dos vaksin tertinggi semalam diikuti Sarawak dan Kuala Lumpur.

Laporan pemberian vaksin semalam merekodkan Selangor sebagai negeri penerima vaksin tertinggi iaitu 80,609 dos diikuti Sarawak (72,971) dan Kuala Lumpur ( 55,952).

Semalam, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) berkata, sejumlah 14,395,330 dos vaksin Covid-19 akan diterima pada bulan ini.

Daripada jumlah itu, sebanyak 6,429,150 dos vaksin adalah dari jenis Pfizer termasuk sumbangan yang diterima dari Amerika Syarikat (AS).

“Sementara itu, sejumlah 1,585,100 dos vaksin pula dari jenis AstraZeneca sumbangan daripada Jepun.

“Manakala, sebanyak 6,381,080 dos vaksin, penghantaran daripada Pharmaniaga (Lot Release NPRA) dan sumbangan daripada China,” kata JKJAV.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here