
CYBERJAYA – Hanya dalam tempoh sesingkat 15 saat, varian baharu Delta mampu menjangkiti mana-mana individu tanpa sedar.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, berbanding kes positif Covid-19 sebelum ini, ia mengambil jangka masa kurang dari 15 minit dengan jarak satu meter.
“Sifat virus ini berubah. Dengan varian Delta ini, dalam tempoh masa 15 saat boleh merebak dan jangkitan melalui udara.
“Disebabkan itu, walaupun sudah divaksinasi, kita nasihatkan orang ramai untuk kekal memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal serta elak berada di tempat yang sesak atau sempit kerana jangkitan boleh berlaku di kawasan yang tidak mempunyai pengudaraan yang baik,” katanya dalam sidang akhbar yang disiarkan secara langsung hari ini.
Sehubungan itu, Dr Noor Hisham menggesa untuk tampil ke hadapan untuk mendapatkan vaksin bagi membendung
daripada mendapat jangkitan Covid-19 yang lebih teruk.
Dr Noor Hisham berkata, sebagai contoh, Labuan sebelum ini menunjukan peningkatan kes yang mendadak kerana terdapat varian Delta.
Bagaimanapun, katanya, kes penularan tersebut berjaya dikawal dalam tempoh tiga minggu selepas lebih 87 peratus penduduk mendapat dos pertama manakala 52 peratus telah mendapat dos kedua.
“Sebelum ini jangkitan di Labuan meningkat sebanyak 1,340 kes dalam masa satu minggu. Kita kesan terdapat jangkitan varian Delta yang dibawa oleh pekerja industri perkapalan.
“Dalam masa yang sama kita pertingkatkan tindakan kesihatan awam, termasuk program vaksinasi dan dalam masa dua minggu kita dapat mengawal penularan di wilayah berkenaan. Kini hanya 26 kes dilaporkan di sana,” katanya.-MT