
PUTRAJAYA – Penyebaran virus Covid-19 dalam komuniti kini sangat membimbangkan apabila ia boleh tersebar dalam tempoh masa yang singkat melalui bawaan udara.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini berikutan penularan varian baharu Covid-19 yang lebih mudah menjangkiti mana-mana individu melalui udara.
Malah katanya, lebih membimbangkan apabila varian berbahaya itu telah merebak ke setiap negeri.
“Ia merebak dengan cepat sekali, jika 100 orang dijangkiti varian ini, ia akan menjangkiti 800 orang lain sebab jangkitannya adalah melalui udara.
“Kalau nak elak kena pakai face mask, double face mask dan face shield (pelindung muka),” katanya dalam sidang akhbar yang disiarkan secara langsung hari ini.
Ditanya jangkaan kes baharu selepas negara mencatatkan angka lima digit hari ini, Dr Noor Hisham berkata, pihaknya menjangkakan kes baharu akan terus meningkat dalam tempoh satu atau dua minggu lagi hingga keadaan menjadi stabil semula. – MT