
CYBERJAYA- Wanita yang meninggal dunia dalam keadaan terbaring di atas lantai di depan sebuah klinik di Taman Sentosa, Klang dekat sini disahkan positif Covid-19.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, dalam kejadian pada pukul 9.45 pagi itu, wanita tempatan yang ditemani oleh adik perempuannya itu disahkan tidak sedarkan diri ketika datang untuk mendapatkan pemeriksaan di klinik berkenaan.
“Sewaktu berada di depan klinik itu, wanita berkenaan tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri. Pemeriksaan lanjut mendapati mangsa mati sebelum sempat mendapat rawatan,”katanya dalam kenyataan hari ini.

Shamsul Amar berkata, mayat kemudian di hantar ke Hospital Shah Alam oleh ambulan untuk prosedur dan tindakan lanjut.
“Hasil keputusan ujian saringan awal Rapid Test Kit mendapati wanita tersebut positif Covid-19 dan turut mempunyai sejarah penyakit kencing manis serta darah tinggi. Kes ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut Covid-19,” katanya.
Shamsul Amar sebelum itu berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut selepas klip video mengenai kejadian itu tular dan beberapa foto insiden berkenaan di media sosial pada pagi Rabu.