
CYBERJAYA – Semua individu khususnya warga asing dan pemegang kad pelarian UNHCR yang berada di Malaysia tidak akan terlepas daripada hukuman jika melakukan kesalahan di negara ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, sehubungan itu individu yang berada di Malaysia, wajib mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan.
“Saya telah arahkan semua agensi penguatkuasaan untuk mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang dan peraturan dalam negara.
“Semua pihak seharusnya memberikan kerjasama kepada anggota penguatkuasaan yang sedang menjalankan tugas bagi memastikan kedaulatan negara dan kepentingan awam dapat dipelihara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam tular dalam media sosial rakaman video orang awam yang memaparkan ratusan individu yang didakwa warga asing sedang menunaikan solat sunat Aidiladha di kawasan lapang berdekatan pangsapuri di Taman Pelangi, Juru di sini kira-kira pukul 8.30 pagi.
Mereka bertindak demikian selepas surau di taman berkenaan sudah mencapai kapasiti jemaah dibenarkan untuk solat Aidiladha iaitu seramai 100 orang seperti ditetapkan menerusi SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Susulan daripada siasatan dibuat polis telah menahan 48 warga Bangladesh dan seorang warga tempatan berhubung pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) itu.-MT