
JOHOR BAHRU – Kebimbangan seorang anak yang tidak dapat menghubungi bapanya bertukar menjadi khabar dukacita apabila mangsa yang tinggal sendirian ditemukan meninggal dunia di sebuah rumah di Skudai, semalam.
Mangsa, Lim Ah Huat, 65, ditemukan di kediamannya di Jalan Timur 20, Taman Timur dekat sini selepas pintu pagar besi rumahnya dipotong oleh pihak bomba.
Kematian warga emas itu disedari selepas anak mendiang yang tinggal di Singapura meminta bantuan seorang rakan untuk melihat keadaan bapanya.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Inggai Anak Bakau berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Negeri Johor yang menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 5.39 petang terus ke lokasi.
“Setibanya di rumah berkenaan, bomba mendapati pintu gril dalam keadaan berkunci dan terdapat seorang mangsa lelaki tidak sedarkan diri di dalam sebuah bilik, juga berkunci.
“Tindakan operasi adalah dengan membuka pintu tersebut menggunakan peralatan Paratech Tools bagi mengeluarkan mangsa yang disahkan meninggal dunia oleh Kementerian Kesihatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Inggai berkata, operasi melibatkan pasukan bomba ditamatkan pada pukul 7.47 malam selepas mayat diserahkan kepada polis untuk urusan selanjutnya.