Yang di-Pertua Dewan Rakyat ambil sikap berkecuali usul tindakan ke atas Peguam Negara

0
291
Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun

CYBERJAYA – Yang di-Pertua Dewan Rakyat mengambil sikap berkecuali dalam membuat sebarang ketetapan berkait usul yang dikemukakan Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kulasegaran.

Menerusi satu kenyataan media, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, usul tersebut mempunyai hal-hal yang bersangkutan dan mengenai Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun yang juga abangnya.

“Sebagaimana yang diketahui umum, Tan Sri Idrus Harun ialah abang kandung saya.

“Oleh kerana itu, saya telah membuat keputusan untuk mengecualikan diri saya daripada membuat apa-apa keputusan mengenai, berkenaan ataupun yang bagaimana jua pun berkaitan dengan usul tersebut,” katanya.

Menurut Azhar Azizan, apa-apa keputusan mengenai perkara berkenaan ataupun yang berkaitan dengan usul tersebut diserahkan kepada Timbalan-timbalan Yang di-Pertua mengikut kedudukan kekananan iaitu Datuk Mohd Rashid Hasnon dan Datuk Seri Azalina Othman Said.

“Saya tidak akan campur tangan di dalam apa cara sekalipun di dalam pelaksanaan tugas Timbalan-timbalan Yang di-Pertua di dalam hal berkaitan,” ujarnya.

Menerusi usul tersebut, Kulasegaran meminta supaya tindakan diambil terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun kerana didakwa mengelirukan Dewan Rakyat.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here