Tabung NORIBA tawar pinjaman tanpa faedah RM100

0
728
Mohd Fadzil Hashim

CYBERJAYA – Kumpulan Malakat Eco melalui Tabung NORIBA hari ini melancarkan kemudahan pinjaman tanpa faedah kepada golongan yang terkesan akibat penularan Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengasasnya, Mohd Fadzil Hashim berkata, pinjaman sebanyak RM100 itu merupakan tawaran peringkat permulaan yang disediakan kepada mereka yang betul-betul memerlukan sebelum kemudahan itu dikembangkan untuk tujuan-tujuan lain.

Katanya, jumlah pinjaman menggunakan dana infaq Projek NORIBA yang dimulakan sejak tahun lalu itu akan diperbesarkan dari semasa ke semasa bergantung kepada dana yang dikumpul dan dikembangkan.

“Kutipan infaq melalui laman web noriba.io sejak setahun lalu itu kini berjumlah RM100,000 lebih. Sebagai start-up, kami juga akan menambah RM100,000 lagi untuk tujuan ini.

“Untuk permulaan, Yayasan Brainy Bunch akan menggunakan dana RM200,000 ini untuk memberi pinjaman kepada 2,000 orang pemohon yang pertama,” katanya pada sesi Live Facebooknya hari ini.

Mohd. Fadzil berkata, bagi memudahkan urusan pinjaman, pemohon tidak perlu menyerahkan sebarang dokumen kewangan sebaliknya hanya perlu menyediakan salinan kad pengenalan dan nombor akaun.

“Pinjaman ini ditawarkan bukan hanya untuk penduduk di Lembah Klang tetapi boleh dipohon dari seluruh negara.

“Sekarang kami sedang menyediakan borang-borang permohonan dan insya-Allah saya akan terus mengemas kini usaha ini,” katanya.

Pengasas Malakat Mall, Mohd Fadzil Hashim memasukan duit ke dalam tabung infaq Bank Koperasi Tanpa Riba (Noriba) semasa perasmiannya di Malakat Mall tahun lalu.

Menurut Mohd. Fadzil, pemberian pinjaman itu merupakan sebahagian daripada matlamat penubuhan Projek NORIBA yang bertujuan menyediakan kemudahan pinjaman tanpa riba kepada umat Islam dan seterusnya menggantikan sistem perbankan kapitalis.

Bagaimanapun katanya, jumlah dana yang berjaya dikumpul setakat ini masih tidak membenarkan pihaknya untuk menyediakan pinjaman yang lebih tinggi.

“Ada orang kata kenapa bagi RM100 sahaja? Macam terlalu kecil. Tapi tujuan kita pada peringkat awal ini adalah untuk membantu mereka yang benar-benar memerlukan.

“Sebab saya dihubungi oleh pelbagai pihak yang mahukan bantuan wang. Di luar saya juga semakin ramai yang mengangkat bendera putih sebagai tanda keputusan bekalan makanan.

“Golongan seperti ini yang cuba kita bantu. Walaupun kami ada sediakan kaunter infaq (bekalan makanan percuma), tidak semua mempunyai kekuatan untuk menggunakannya, kerana ada yang malu,” katanya.

Sehubungan itu beliau menyeru orang ramai supaya bersama-sama bersedekah dan memberi infaq kepada tabung itu supaya lebih ramai yang dapat menerima manfaat darinya.

Katanya, sumbangan kepada dana NORIBA itu boleh dibuat pada jumlah serendah RM10.

“Bayangkan kita ada 4 juta keluarga muslim di Malaysia, kalau kita ambik 2 juta golongan pertengahan dan atas yang menyumbang sebanyak RM100, kita sudah ada RM200 juta.

“Dengan dana yang lebih besar, kita boleh mengembangkan pinjaman untuk tujuan-tujuan seperti beli kenderaan, rumah dan sebagainya,” katanya.

Tanpa menetapkan tempoh pembayaran semula pinjaman itu, Mohd Fadzil berkata, setiap pemohon perlu membayar semula pinjaman yang diterima bagi membolehkan tabung itu memberi manfaat kepada penerima lain.

“Ada yang tanya bagaimana kalau penerima tidak bayar? Kalau tidak bayar kerana tidak mampu kita halalkan tapi kalau peminjam saja-saja tak nak bayar, itu dia jawab dengan Allah.

“Pinjaman ini diberikan kepada sesiapa yang memerlukan. Jadi kami andaikan mereka memang memerlukannya,” katanya.

Orang ramai yang ingin membuat pinjaman boleh memohon di pautan ini : https://noriba.io/en/pinjaman-rm100/?fbclid=IwAR2Q8zcD1OOlYU2L7h8AyWMNljL5hwn8mvD18UfG7Q5jayLxpRtgPXW3V8k

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here