Yuran universiti awam dikurangkan sehingga 35 peratus

0
79

CYBERJAYA – Ibu-bapa kepada pelajar di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) akan menikmati pengurangan jumlah yuran sehingga 35 peratus bagi Semester Kedua Sesi Akademik 2019/2020.

Kementerian Pengajian Tinggi dalam kenyataan hari ini mengumumkan perkara itu sebagai maklum balas kepada keluhan ibu bapa yang terkesan sepanjang pandemik Covid-19.

“Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) melalui Surat Edaran bertarikh 22 Mac 2021 telah meminta Universiti Awam agar memberi kelonggaran dan pertimbangan sewajarnya terhadap tuntutan bayaran yuran, terutama kepada pelajar yang terjejas dan menghadapi masalah kewangan.

“Pengurangan itu akan melibatkan Yuran Perkhidmatan, Yuran Asrama, Yuran Konvokesyen dan Yuran Aktiviti Kolej,” menurut kenyataan itu.

Pengurangan yuran bagi Semester Kedua Sesi Akademik 2019/2020 itu diperuntukkan kepada semua pelajar warganegara melibatkan peruntukan sebanyak RM75 juta yang mana RM20 juta merupakan peruntukan tambahan kerajaan dan RM55 juta lagi daripada sumber dalaman Universiti Awam.

Menurut kenyataan itu, langkah tersebut merupakan usaha kerajaan untuk mengurangkan beban kewangan yang ditanggung pelajar dan ibu bapa.

“Kementerian juga berpandangan kadar pengurangan yuran yang diberikan adalah munasabah memandangkan 20 universiti awam kini terpaksa menanggung sendiri kos operasi yang tinggi daripada peruntukan dalaman ekoran pengurangan peruntukan dari kerajaan sepanjang pandemik ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here