1.4 peratus kes baharu hari ini dalam kategori 5

0
94
GAMBAR HIASAN

CYBERJAYA – Sebanyak 345 kes atau 1.4 peratus daripada 24,599 kes harian Covid-19 yang dilaporkan pada hari ini melibatkan kategori 5 iaitu pesakit yang kritikal dan memerlukan bantuan alat pernafasan.

Untuk rekod, negara hari ini mencatat angka kes harian baharu tertinggi sejak pandemik Covid-19 melanda negara, tahun lalu.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, walaupun jumlah kes pada hari ini adalah yang tertinggi sepanjang pandemik, kebanyakan kes yang dilaporkan adalah berada di kategori klinikal 1 dan 2 semasa didiagnosa.

“Sebanyak 97.3 peratus atau 23,939 kes berada dalam kategori 1 dan 2 iaitu pesakit yang tidak bergejala dan bergejala ringan.

“(Manakala) Sebanyak 660 kes (2.7 peratus) pula adalah daripada kategori 3, 4 dan 5. Ini adalah berdasarkan keadaan klinikal kes semasa baharu didiagnosa Covid-19.

“Ini seiring dengan program vaksinasi yang semakin giat dijalankan di seluruh negeri,” kata Dr. Noor Hisham dalam satu kenyataan.

Beliau menambah, setakat semalam, sebanyak 40.8 peratus daripada keseluruhan populasi di Malaysia di mana 56.9 peratus daripada keseluruhan populasi dewasa di Malaysia telah menerima vaksin.

Sementara itu, sebanyak 22,657 kes lagi dilaporkan sebagai telah pulih, angka sembuh tertinggi dilaporkan dalam tempoh satu bulan ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here