12 ahli Dewan Negara serah memorandum kepada Speaker Dewan Negara

0
93
Bangunan Parlimen

KUALA LUMPUR – Seramai 12 ahli Dewan Negara menyerahkan surat memorandum kepada Speaker Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim hari ini.

Memorandum berkenaan diserahkan melalui Setiausaha Dewan Negara, Muhd Sujairi Abdullah di pekarangan bangunan Parlimen di sini.

Senator Mohd Yusmadi Mohd Yusoff berkata, Parlimen sepatutnya dijadikan tempat selamat yang boleh bersidang.

Ini kerana katanya, ketika ini kira-kira lebih 90 peratus ahli dan petugas di Parlimen sudah divaksin.

Selain itu kata Mohd Yusmadi, pihaknya khuatir penangguhan sidang Parlimen berkemungkinan mempunyai motif poltiik.

“Dalam kandungan surat, kami mengatakan bahawa kami kesal kerana penangguhan persidangan Dewan Negara dalam tempoh jangka masa yang singkat.

“Kami kesal cara proklarimasi Ordinan Darurat dibatalkan tanpa melalui persidangan dan perbahasan di Dewan.

“Maka apabila (hak) kami dinafikan untuk bersidang, ia bermaksud bahawa lantikan ini (Seri Paduka Baginda) tidak dihormati,” katanya hari ini.

Untuk makluman, hari ini sepatutnya menjadi hari pertama Sidang Khas Dewan Negara bersidang namun, tidak dapat dijalankan ekoran Covid-19.

Menurut Mohd Yusmadi, tujuan persidangan Dewan Negara adalah menjadi semak imbang kepada perkara yang berlaku di sidang Dewan Rakyat.

“Maka, apa-apa ketidakpatuhan boleh dipulihkan di sidang Dewan Negara,” katanya.

Tambah beliau, kehadiran ahli Dewan Negara hari ini juga tidak mewakili mana-mana kepentingan parti politik, tetapi mewakili lantikan Seri Paduka Baginda.

“Kami bersedia demi rakyat dan bukannya berpolitik seperti yang digempar-gempurkan,” katanya.

Turut hadir Senator Ismail Yusop (Selangor), Senator Alan Ling Sie Kiong (Sarawak) dan Senator Adrian Lasimbang (Sabah).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here