12 kru kapal berlabuh haram ditahan di perairan Johor

0
32
Maritim Malaysia

JOHOR BAHRU – Sebuah kapal kargo yang disyaki berlabuh secara haram di perairan Johor Timur ditahan Agensi Penguatkuasan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam operasi semalam.

Pengarah Maritim Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria dalam kenyataan berkata, kapal kargo yang berdaftar dari Kuching, Sarawak itu ditahan Maritim Malaysia di kedudukan 3.8 batu nautika tenggara Tanjung Punggai pada jam 9.10 pagi.

Katanya, pemeriksaan awal mendapati kapal kargo tersebut dikendalikan oleh 12 kru warga tempatan dan Indonesia berumur antara 30 hingga 70 tahun serta mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

“Kapal kargo tersebut didapati telah bersauh di perairan ini sejak 24 Ogos dan nakhoda kapal juga gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh daripada Pengarah Laut Malaysia.

“Kapal serta kesemua kru telah ditahan, manakala nakhoda dan ketua jurutera kapal dibawa ke Pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili untuk siasatan lanjut,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Menurut Nurul Hizam, kes terbabit disiasat dibawah Seksyen 491B(1)(l) kerana bersauh tanpa kebenaran iaitu jika didapati bersalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

“Untuk rekod, sejak Januari 2021 sehingga kini, Maritim Malaysia Negeri Johor telah menahan sebanyak 90 buah kapal di bawah kesalahan bersauh tanpa kebenaran iaitu 72 buah kapal telah ditahan dalam Operasi Jangkar Haram yang dilancarkan pada 24 Mac tahun ini.

“Kapal-kapal yang ingin berlabuh perlu mendapatkan kelulusan daripada pihak Jabatan Laut Malaysia Wilayah Selatan sekiranya tidak mahu berdepan dengan tindakan tegas pihak berkuasa,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here