18 ahli Parlimen Pas sudah tandatangani SD – Tuan Ibrahim

0
242
Tuan Ibrahim Tuan Man

CYBERJAYA – Semua ahli Parlimen Pas telah menandatangani surat akuan bersumpah (SD) calon Perdana Menteri baharu untuk diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ia selepas baginda menitahkan semua ahli Parlimen menyerahkan nama calon Perdana Menteri menerusi surat akuan bersumpah (SD) sebelum pukul 4 petang esok.

“Saya ingin memaklumkan bahawa Pas telah bersedia dengan SD ahli Parlimen Pas untuk dipersembahkan kepada baginda,” katanya dalam satu hantaran menerusi laman Facebook miliknya hari ini.

Terdahulu, hari ini Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima menghadap pemimpin utama parti politik di Istana Negara.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata, dalam pertemuan itu baginda turut menitahkan supaya semua pemimpin parti dapat mewujudkan keharmonian, ketenteraman dan memberi fokus kepada isu kesihatan, ancaman Covid-19, keadaan ekonomi rakyat dan negara.

Pada masa sama, katanya, baginda juga menjelaskan bahawa proses pelantikan Perdana Menteri akan dilaksanakan menerusi SD oleh setiap ahli Parlimen.

Sementara itu, beliau turut menyeru semua pihak agar kekal bertenang dan menjaga kesihatan diri dan keluarga.

“Kita yakin akan kebijaksanaan baginda untuk mengakhiri kemelut politik ini dengan jayanya,” ujarnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here