
PUTRAJAYA – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Zahidi Zainul Abidin mendedahkan terdapat tiga lagi ahli Parlimen daripada PKR menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekali gus menafikan dakwaan kerajaan telah hilang majoriti.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia itu juga berkata, sokongan ahli Parlimen daripada Barisan Nasional (BN) terhadap PN juga kukuh apabila 40 ahli Parlimen menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong PN.
“Semalam kita mengadakan pertemuan disebabkan ada dakwaan bahawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hilang sokongan. Kita sebagai ahli Parlimen sebanyak 40 ahli Parlimen BN menyatakan sokongan melalui SD sokong Muhyiddin, jadi tiada masalah.
“PKR pula ada tambahan tiga orang sokong Muhyiddin, bukan sokongan berkurangan tetapi bertambah,” katanya dalam sidang akhbar selepas menerima kunjungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di pejabatnya hari ini.
Mengulas lanjut, katanya, ahli Parlimen daripada BN yang sah tidak memberikan sokongan ialah Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.
“Ku Li memang dah keluar, ada daripada PKR yang melompat termasuk Xavier (Ahli Parlimen Kuala Langat) dan lain-lain yang menyokong PN. Sokongan untuk kita bertambah tak kurang, kurang satu atau dua saja.
“Kalau boleh Presiden UMNO pun sokong kerajaan ini kerana kita dapat jawatan timbalan perdana menteri maknanya kita berpakat dengan Bersatu.
“Cadangan sokong PN tapi tak sokong Perdana Menteri adalah tak praktikal. Keputusan UMNO adalah kita bagi sokongan smpai pilihan raya umum nanti,” tegasnya.-MT