
KUALA LUMPUR – Sebanyak 31 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) hari ini menyatakan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin sehingga Dewan Rakyat bersidang semula pada September ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri ismail Sabri Yaakob berkata, pendirian itu juga diambil sebagai menjunjung titah yang diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong kelmarin supaya keabsahan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri ditentukan melalui satu usul undi percaya dalam sidang Dewan Rakyat.
“Jadi jelas bahawa Agong mahu supaya Parlimen diadakan dan penentuan untuk sama ada kerajaan hari ini boleh terus berfungsi hingga September ini akan ditentukan oleh ahli parlimen sendiri.
“Pihak istana juga tidak lagi menerima akuan bersumpah (SD) ataupun surat-surat sokongan lain, jadi jelas walaupun ada kenyataan daripada Presiden UMNO keputusan ini bertentangan dengan perkenan dibuat oleh Agong,” katanya dalam satu sidang akhbar yang disiarkan secara langsung hari ini.
Dalam pada itu, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO turut mendedahkan terdapat beberapa nama yang hadir ketika sidang akhbar bersama Presiden UMNO baru-baru ini kembali menyokong kerajaan PN.
Beliau berkata, mereka adalah Datuk Seri Mohd Nizar Zakaria (Parit), Datuk Seri Azeez Abdul Rahim (Baling) dan Tan Sri Noh Omar (Tanjung Karang).
Sebagai rekod BN mempunyai seramai 42 Ahli Parlimen yang terdiri daripada empat parti komponen iaitu UMNO (38 kerusi), MCA (2 kerusi), MIC (1 kerusi) dan PBRS (1 kerusi).
Nama yang tidak disebut oleh Timbalan Perdana Menteri untuk menyokong PN adalah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (Bagan Datuk); Datuk Seri Najib Tun Razak (Pekan); Datuk Seri Azalina Said Othman (Pengerang); Datuk Ahmad Nazlan Idris (Jerantut); Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (Machang); Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang); Datuk Seri Ahmad Maslan (Pontian); Ramli Mohd Nor (Cameron Highlands); Datuk Seri Dr Noraini Ahmad (Parit Sulong); Shamsul Anuar Nasarah (Lenggong) dan Datuk Seri Bung Moktar Radin (Kinabatangan).-MT