53 peratus dewasa Malaysia sudah lengkap vaksin

0
72
Petugas melakukan suntikan vaksin di Program Vaksinasi Bergerak Wilayah Prihatin di PPR Perkasa, Jalan Cochrane baru-baru ini. Foto / FaridJanudin

CYBERJAYA – Kadar vaksinasi negara kini mencatatkan sebanyak 53 peratus populasi dewasa berusia 18 tahun ke atas telah lengkap menerima dua dos vaksin.

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) menerusi perkongsian di Twitter memaklumkan, peratusan berkenaan adalah bersamaan dengan 12,408,803 individu, manakala bagi dos pertama sebanyak 17,961,600 individu telah menerima vaksin bersamaan 76.7 peratus populasi penduduk dewasa di negara ini.

Menurut perkongsian berkenaan, jumlah pemberian dos harian juga mencapai sebanyak 483,855 dos membabitkan 155,030 bagi dos pertama, manakala 328,825 bagi dos kedua.

Selangor mencatatkan pemberian dos harian tertinggi dengan sebanyak 99,070 dos kedua diberikan, manakala dos pertama pula sebanyak 14,975 dos.

Kuala Lumpur pula mencatatkan pemberian dos harian kedua tertinggi dengan sebanyak 60,039 dos kedua diberikan, manakala, dos pertama pula sebanyak 13,746 dos.

Negeri ketiga yang mencatatkan pemberian dos harian tertinggi ialah Johor dengan sebanyak 38,681 dos kedua diberikan, manakala, dos pertama pula sebanyak 29,323 dos.

Lembah Klang dan empat negeri mencatatkan jumlah kumulatif pemberian dos vaksin melebihi 50 peratus bagi populasi penduduk dewasa iaitu Wilayah Persekutuan Labuan sebanyak 90.4 peratus; Sarawak (83.6 peratus); Lembah Klang iaitu membabitkan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya serta Selangor (78.8 peratus); Negeri Sembilan (70.1 peratus) dan Perlis (59.9 peratus).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here