75 positif Covid-19 di Pulau Perhentian, lebih seribu disaring

0
102
Kampung Pulau Perhentian, Besut, Terengganu.

KUALA BESUT – Sebanyak 1,124 penduduk Pulau Perhentian di sini terpaksa menjalani ujian saringan Covid-10 susulan 75 kes positif di pulau peranginan itu.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr. Kasemani Embong berkata, ujian calitan yang dijalankan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) sejak Jumaat lalu itu melibatkan hampir 70 peratus penduduk dan dijangka selesai sepenuhnya petang ini.

“Ujian calitan terpaksa dilakukan bagi mencegah penularan jangkitan kerana terdapat 75 kes positif Covid-19 dalam kalangan penduduk di Pulau Perhentian setakat ini.

“Dalam pada itu, sekatan pergerakan keluar masuk pulau juga telah dimulakan sejak Jumaat lepas,”katanya seperti dilaporkan Bernama hari ini.

Menurut beliau, punca penularan Covid-19 dipercayai berpunca daripada pergerakan penduduk pulau yang berulang-alik menjalankan beberapa urusan di tanah besar.

“Kesemua penduduk yang positif Covid-19 telah dihantar menerima rawatan di Hospital Setiu serta Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Kem Wawasan dan Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Mizan Besut,” katanya.

Dalam ada itu, Dr Kasemani berkata, penduduk yang disahkan sebagai kontak rapat telah diarahkan menjalani kuarantin di rumah dengan pengawasan ketat oleh penguat kuasa kesihatan dan Polis Diraja Malaysia.

Seramai 979 penduduk dan penggiat industri pelancongan di Pulau Perhentian telah menerima suntikan vaksin dos pertama mereka pada 5 Ogos lepas melalui program outreach yang dilaksanakan JKNT.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here