Ahmad Maslan sahkan Ismail Sabri calon tunggal BN sebagai PM

0
170
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

CYBERJAYA – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengesahkan Barisan Nasional (BN) hanya mencalonkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri.

Beliau berkata demikian dalam satu hantaran menerusi laman sosial miliknya sebentar tadi.

“Berpadu bersama Presiden UMNO Datuk Seri Dr Zahid Hamidi, Timbalan Datuk Seri Mohamad Hasan, Penasihat BN Datuk Seri Najib Tun Razak dan ahli-ahli MKT (Majlis Kerja Tertinggi) UMNO.

‘Dihantar hanya 1 nama sebagai calon Perdana Menteri oleh Ahli Parlimen UMNO/BN pada 17/8/21 iaitu Ismail Sabri, Ahli Parlimen Bera,” katanya.

Terdahulu, malam tadi UMNO mengadakan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MT) di Menara Dato’ Onn di sini bagi menentukan calon pilihan parti untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai Perdana Menteri baharu.

Datuk Seri Ahmad Maslan

Nama calon itu perlu diserahkan kepada Agong sebelum pukul 4 petang ini (Rabu) seperti yang dititahkan oleh baginda.

Sebelum ini, difahamkan Perikatan Nasional (PN) bersetuju untuk mencalonkan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Timbalan Perdana Menteri PN sebagai calon Perdana Menteri.

Ia susulan peletakkan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri semalam.

Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan turut mengesahkan kenyataan Ahli Parlimen Pontian itu.

“Sahih. Dengan restu dan persetujuan Presiden, Timbalan serta MKT, hanya satu nama dihantar.

“Sepertimana pendekatan UMNO sebelum ini, proses seterusnya adalah terserah kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here