
CYBERJAYA – Datuk Seri Ahmad Maslan memberi gambaran akan ada lagi Menteri daripada UMNO akan melepaskan jawatan.
Setiausaha Agung UMNO itu berkata, peletakan jawatan sebagai menteri telah dimulakan oleh Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah hari ini.
Katanya, tindakan susulan keputusan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang memutuskan untuk menarik balik sokongan terhadap kerajaan PN dan juga Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“(Peletakan jawatan) menteri UMNO ini telah dimulakan oleh Shamsul Anuar, kita menunggu apakah yang akan berlaku pada hari-hari berikutnya
“Setakat ini kita menunggu dalam sejam dua, (atau) sehari ke dua hari lagi,” katanya seperti yang dilaporkan Sinar Harian hari ini.
Terdahulu hari ini, Shamsul Anuar mengumumkan peletakan jawatan selaku Menteri Tenaga dan Sumber Asli.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Lenggong berkata, keputusan itu diambil selepas mengambil ketetapan yang dibuat oleh parti UMNO.
Tidak lama selepas pengumuman tersebut, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam sidang akhbarnya memaklumkan UMNO menarik balik sokongan kepada kerajaan PN.