Alisha khatam dan hafal Al-Quran dalam masa 143 hari

0
268
Zulfah Alisha Zulfadhli yang menjadi hafizah pertama melalui Program Akmal Brainy Bunch Dream Tahfiz 2021 (AKMAL).

CYBERJAYA – Tidak sampai 5 bulan atau secara tepatnya 143 hari. Itulah tempoh yang diperlukan Zulfah Alisha Zulfadhli untuk bergelar hafizah pertama Sekolah Islamik Montessori Antarabangsa Brainy Bunch (BBIIS).

Gadis berusia 13 tahun yang belajar di Kampus Utama Brainy Bunch Cyberjaya ini merupakan pelajar kedua yang khatam hafazan melalui Program Akmal Brainy Bunch Dream Tahfiz 2021 (AKMAL).

AKMAL adalah teknik hafazan yang diperkenalkan Brainy Bunch kepada pelajar dengan sasaran penguasaan bacaan dan hafazan dalam tempoh kurang daripada 12 bulan.

Zulfah Alisha berkata, melalui program dengan kerjasama Akademi Al-Quran Amalillah itu, para pelajar diajar menggunakan konsep ‘3 jam masa emas’ yang memendekkan masa dan memudahkan penguasaan teknik menghafal.

Anak kedua daripada 4 adik-beradik itu berkata, melalui teknik AKMAL dia mampu menghafaz kira-kira 10 muka surat Al-Quran setiap hari dan khatam dalam masa yang lebih singkat.

“Saya biasanya memperuntukkan beberapa jam setiap hari di sebelah malam untuk menghafal kecuali pada malam Sabtu dan Ahad.

“Alhamdulillah melalui teknik ini saya bukan sahaja dapat menghafal dengan lancar bahkan menjadikan pengalaman membaca Al-Quran dengan lebih seronok,” katanya yang tinggal di Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan.

Alisha berkata, sebelum mengikuti program itu, cabaran membaca dan menghafal Al-Quran kerap terbantut kerana tidak dapat memberi fokus dan tidak menguasai formula hafazan yang berkesan.

Zulfah Alisha Zulfadhli

Sementara itu, ibunya, Norzihan Talib berkata, kaedah AKMAL mementingkan persediaan pelajar dalam pengurusan masa dan diri, persekitaran waktu belajar dan menjaga permakanan.

“Untuk membolehkan Alisha dapat fokus kepada pembelajarannya, saya sebagai ibu cuba sedaya upaya untuk menyediakan ruang belajar yang selesa dan memastikan tiada gangguan daripada adik-beradik lain,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here