Anggota tentera wajib divaksin, tindakan tatatertib jika ingkar

0
175
Seorang pasukan perubatan tentera menyuntik vaksin terhadap isteri salah seorang anggota tentera baru-baru ini. Gambar Facebook TDM

CYBERJAYA – Tentera Darat Malaysia (TDM) menegaskan tidakan akan berkompromi terhadap mana-mana anggotanya yang menolak untuk divaksin.

Menurut TDM dalam satu kenyataan media dikeluarkan Sel Perhubungan Raya Tentera Darat menegaskan, setiap anggota TDM diwajibkan mengambil vaksin.

Jelas kenyataan itu, ia bagi mengekang penularan yang bukan sahaja akan berlaku dalam kalangan anggota TDM, bahkan boleh menjangkiti keluarga anggota TDM dan masyarakat keseluruhannya.

“Tindakan seseorang anggota tentera yang ingkar atau enggan untuk menerima vaksin, boleh menyebabkan mereka dikenakan tindakan tatatertib kerana ingkar perintah atau melanggar perintah tetap.

“Pengambilan vaksin dalam kalangan anggota TDM diwajibkan atas dasar anggota TDM hidup secara berkelompok.

“Selain itu, peranan dan tanggungjawab TDM kini sebagai petugas barisan hadapan dalam melaksanakan penugasan mahupun latihan, turut berdepan dengan kebolehjangkitan Covid-19,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, katanya, langkah itu juga bertujuan mendokong hasrat dan aspirasi kerajaan untuk mencapai imuniti kelompok, seterusnya memutuskan rangkaian penularan Covid-19 di negara ini.

Sehubungan itu, katanya, setiap anggota TDM mesti mematuhi dan menuruti perintah yang telah dikeluarkan, bagi menentukan misi dan kesiapsiagaan organisasi tercapai.

Kenyataan media TDM

Media sebelum ini melaporkan Sarjan Wan Ramly Wan Seman, 39, dari Batalion ke-24 Rejimen Askar Melayu Diraja yang berpangkalan di Kem Rasah, Negeri Sembilan menerima arahan pemberhentian perkhidmatan yang dikeluarkan Kementerian Pertahanan berkuat kuasa 26 Ogos ini.

Tindakan itu diambil selepas bapa kepada tiga anak itu menolak pemberian vaksin pada 7 Julai lalu ketika diarahkan berbuat demikian.

Beliau sepatutnya dijadualkan tamat perkhidmatan pada 21 Januari 2023, bagaimanapun selepas tindakan yang akan dikenakan, Wan Ramly berkemungkinan kehilangan pencen yang layak diperolehnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here