Angka kematian Covid-19 lepas angka 16,000

0
54
Petugas Kesihatan dan petugas Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) membaca doa selepas selesai menguruskan pengebumian jenazah pesakit Covid-19 di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Gombak.

CYBERJAYA – Sebanyak 285 kes kematian baharu yang direkodkan dalam tempoh 24 jam yang lalu menjadikan jumlah kumulatif kes kematian akibat Covid-19 di negara ini melepasi paras 16,000 kes.

Dalam kes terbaharu hari ini, 240 kes melibatkan kes warganegara manakala 45 lagi bukan warganegara dengan 51 kes kematian berlaku di luar hospital atau BID (brought in dead).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 455 kes (2.2 peratus) daripada kes harian adalah kategori tiga, empat dan lima manakala 97.8 peratus dalam kategori satu dan dua.

“Pengkategorian itu adalah berdasarkan keadaan klinikal kes semasa baharu didiagnosis Covid-19.

“Ada di antara kes kekal di kategori sama sepanjang tempoh jangkitan, namun ada juga berubah status kesihatan kes sama ada bertambah baik ke kategori lebih rendah atau merosot ke kategori lebih tinggi.

“Secara keseluruhan, 15,651 kes (76.1 peratus) daripada jumlah kes yang dilaporkan tiada atau tidak lengkap vaksinasi,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.

Di sebalik perkembangan itu, negara turut merekodkan kes sembuh sebanyak 20,845 kes sekali gus melebihi kes harian yang melaporkan sebanyak 20,579 kes.

Sementara itu, katanya, terdapat 26 kluster baharu dikenal pasti terdiri daripada 20 kluster tempat kerja, lima kluster komuniti dan satu kluster pendidikan lain.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here