Anwar akur dengan pelantikan Ismail Sabri, minta PH lebih gigih hadapi PRU-15

0
344
Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa di Pintu Dua Istana Negara selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah baru-baru ini.


CYBERJAYA- Datuk Seri Anwar Ibrahim akur dengan pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9.

Anwar berkata, bagi pihak Pembangkang, ini adalah cabaran untuk bekerja lebih gigih lagi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Dengan penuh takzimnya saya mewakili Pembangkang keseluruhannya menjunjung kasih ke atas titah Yang di-Pertuan Agong di atas pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.

“Kami mengambil maklum bahawa keputusan ini dibuat menurut lunas-lunas Perlembagaan, demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan yang kita amalkan.

“Bagi pihak Pembangkang, ini adalah cabaran untuk kita bekerja lebih gigih lagi bagi menghadapi PRU-15,” katannya dalam kenyataan di laman Facebooknya sebentar tadi.

Ismail Sabri yang merupakan Ahli Parlimen Bera sah dilantik sebagai Perdana Menteri yang ke-19.

Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata pelantikan Ismail Sabri telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Yang di-Pertuan Agong berkenan untuk membuat pelantikan itu selepas Naib Presiden UMNO itu mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen menerusi Surat akuan bersumpah (SD) yang dihantar.

Sementara itu, Anwar dalam kenyataan yang sama mengajak semua untuk sama-sama berdoa dan berusaha supaya krisis wabak Covid-19 dan ekonomi segera diatasi dan ditangani demi rakyat.

“Buat semua pimpinan, anggota dan pendukung, kami menggesa semua untuk menerima keputusan ini dengan kecekalan yang jitu untuk bekerja lebih gigih menuju PRU-15, agar kita dapat memenangi semula mandat rakyat yang telah kita terima pada Pilihan Raya Umum yang lalu,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here