Anwar dakwa kerajaan pimpinan Muhyiddin sudah tumbang

0
313
Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim terus mengulangi dakwaan bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin kini sudah tumbang.

Anwar selaku Ketua Pembangkang turut mendakea bahawa beliau telah mendapat maklumat bahawa ada Ahli Parlimen yang meminta untuk keluar PN.

“Kerajaan Mahiaddin (Muhyiddin) telah jatuh, tumbang hari ini. Saya mendapat maklumat ada Ahli Parlimen yang minta keluar daripada Perikatan Nasional (PN).

“Dengan 107 (Ahli Parlimen) di sini campur mereka, kerajaan sudah ditumbangkan,” katanya ketika berucap di Dataran Merdeka hari ini.

Sementara itu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad turut mendakwa kerajaan PN secara automatik terbubar apabila mengumumkan pembatalan Ordinan Darurat tidak mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, perkara itu sekali gus kerajaan hari ini tidak boleh mentadbir negara khususnya apabila mereka gagal mencapai persefahaman antara institusi diraja dan Kabinet.

Dr. Mahathir kembali bergabung dengan Anwar di Dataran Merdeka hari ini.

Katanya, pembatalan Proklamasi dan Ordinan Darurat itu tidak mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan menunjukkan ia dilakukan tidak mengikut proses perundangan negara.

“Ikut pindaan kita buat sebelum ini, kalau Seri Paduka (Yang di-Pertuan Agong) tolak maka dewan (Dewan Rakyat) mesti bincangkan sebab penolakan. Kalau tiada perubahan (berhubung sebab penolakan), dewan boleh hantar balik kepada Seri Paduka. Kalau tak lulus selama dua bulan, barulah ia jadi undang-undang.

“Bagaimanapun, ini (pembatalan Proklamasi dan Ordinan Darurat) belum dikemukakan kepada Parlimen, selepas tidak dipersetujui Seri Paduka… (kerajaan) buat pengumuman seolah-olah ia sudah jadi undang-undang,” katanya.

Terdahulu, Dr. Mahathir bersama ahli-ahli Parlimen pembangkang berkumpul di Dataran Merdeka setelah mereka tidak dibenarkan memasuki Bangunan Parlimen hari ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here