Azalina berdiri teguh di belakang Presiden UMNO, pilih berpihak kepada Agong

0
353
Datuk Seri Azalina Othman Said

CYBERJAYA – Ahli Parlimen Pengerang daripada UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said mengesahkan menarik semula sokongan yang diberikan terhadap Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Azalina yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat berkata, keputusan itu diambil sebagai mendukung dan mempertahankan Perlembagaan negara, Perlembagaan negeri-negeri dan Raja Berperlembagaan.

“Saya selaku Ketua UMNO Bahagian Pengerang merangkap Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO menyambut baik kenyataan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden UMNO yang menarik balik sokongan terhadap kerajaan PN dan Perdana Menteri.

“Keputusan ini sememangnya selaras dengan asas dan tujuan parti UMNO seperti yang termaktub dalam Fasal 3.3 Perlembagaan UMNO untuk mendukung dan mempertahankan Perlembagaan negara, Perlembagaan negeri-negeri dan Raja Berperlembagaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Azalina, UMNO Bahagian Pengerang juga konsisten dan menyokong penuh keputusan Majlis Kerja Tertinggi yang mengambil pendirian berpihak kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Terdahulu, Presiden UMNO mengumumkan parti itu menarik semula sokongan terhadap PN dan Perdana Menteri kerana Muhyiddin didakwa mengingkari titah Yang di-Pertuan Agong supaya Ordinan Darurat dibahaskan dan diungkaikan sebelum 1 Ogos lalu.

Menurut Ahmad Zahid lagi, UMNO juga telah mempersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong angka yang mencukupi bagi menzahirkan penarikan diri daripada menyokong PN dan Perdana Menteri.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here