Azeez Rahim nafi khianati UMNO, tiada tandatangan diberikan sokong Perdana Menteri

0
172
Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim

CYBERJAYA – Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Azeez Abdul Rahim menjadi ahli Parlimen kedua tampil menafikan dikaitkan sebagai salah seorang daripada 31 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Azeez berkata, beliau tidak pernah menyatakan sokongan semula kepada Perdana Menteri sebaliknya tandatangan kehadirannya dalam satu majlis perjumpaan bersama Ahli Parlimen BN pagi tadi dianggap sebagai menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Dakwaan yang kata saya khianati arahan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO adalah tidak benar, sebagai seorang ahli parti yang bertanding atas nama UMNO dan BN, tak mungkin ia benar. Saya ingin maklumkan tandatangan yang ditularkan itu ialah kehadiran saya bagi perjumpaan tersebut. Itu sahaja tiada surat apa-apa untuk kami tandatangani.

“Saya hadir sebagai ahli Parlimen untuk dengar penjelasan oleh timbalan perdana menteri yang mana sama dengan pendirian saya dan parti iaitu menjunjung titah Yang di-Petuan Agong iaitu saya akan laksanakan tanggungjawab saya di Parlimen untuk tentukan keabsahan kedudukan kerajaan hari ni,” katanya dalam satu sidang akhbar yang disiarkan secara langsung melalui UMNO Online hari ini.

Terdahulu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu sidang akhbar berkata sebanyak 31 Ahli Parlimen BN menyokong PN dan Muhyiddin sehingga Dewan Rakyat bersidang semula pada September ini.

Turut dikaitkan dalam senarai nama itu ialah tiga ahli Parlimen yang hadir ketika sidang akhbar bersama Presiden UMNO baru-baru ini iaitu Datuk Seri Mohd Nizar Zakaria (Parit), Datuk Seri Azeez Abdul Rahim (Baling) dan Tan Sri Noh Omar (Tanjung Karang).

Bagaimanapun, Noh tampil sebentar tadi menjelaskan perkara sama seperti yang diumumkan oleh Ahli Parlimen Baling itu iaitu tiada sebarang sokongan diberikan kepada Muhyiddin dan mereka masih patuh pada keputusan dibuat oleh MKT UMNO.

Dalam pada itu, Azeez juga meminta semua Ahli Parlimen UMNO untuk rapatkan semula saf dan barisan.

Sementara itu, katanya, buat masa ini tumpuannya adalah untuk membantu rakyat Baling dengan memulakan program pemberian vaksinasi dari rumah ke rumah yang bermula hari ini sehingga sidang Dewan Rakyat bermula pada bulan hadapan.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here