Azizulhasni Khatam Al-Quran sehari sebelum bermula acara Keirin Olimpik Tokyo 2020

0
32
Membaca Al-Quran menjadi rahsia ketenangan Azizuhasni

CYBERJAYA- Datuk Mohd Azizulhasni Awang mendedahkan beliau membaca Al-Quran untuk mencari ketenangan sebelum temasya Sukan Olimpik Tokyo.


Seperti sedia maklum, jaguh basikal negara itu memenangi pingat Perak dalam acara Keirin di Olimpik Tokyo sekali gus mengharumkan nama negara.


Mohd Azizuhasni berkata, menyertai kejohanan dengan tekanan yang besar bukan satu urursan yang mudah apatah lagi bertanding di temasya terbesar dunia.


“Pergi ke sesebuah kejohanan dengan suatu tekanan yang besar bukan satu urusan yang mudah, apatah lagi apabila bertanding di temasya yang terbesar di dunia.


“Bagi mereka yang pernah berkecimpung dalam arena sukan mereka akan faham benar. Tidak kiralah kecil atau besar sesebuah kejohanan itu, tetapi apabila kita menggalas sesebuah harapan besar yang diberikan, ianya umpama ada suatu bebanan di atas kepala serta seluruh badan kita yang kita bawa kemana-mana.


“Ada yang tanya apakah rahsia saya kekal tenang menghadapai situasi-situasi yang extreme ini? Jawapan saya adalah Al-Quran. Ketika kem latihan di Nilai, saya dah mulakan misi membaca Al-Quran untuk khatam sebelum pertandingan.


“Tapi maklumlah, latihan sangatlah teruk waktu tu ditambah dengan kesibukkan pelbagai aktiviti bersama dengan pasukan membuatkan kuantiti bacaan agak perlahan,” katanya di laman Facebooknya hari ini.


Bagaimanapun kata Mohd Azizuhasni, selepas tamat sahaja kem latihan dan terbang ke Tokyo ianya memberikan beliau lebih banyak ruang untuk memberikan tumpuan kepada bacaan.


“Bermula di atas kapal terbang menuju ke Tokyo, saya tidak mensia-siakan waktu yang ada. Separuh perjalanan saya luangkan dengan bacaan.


“Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang ketika itu ternampak dan mengetahui misi tersebut memberikan kata-kata semangat dan juga beberapa tips kerohanian.


“Boleh kata semua waktu terluang yang ada ketika di perkampungan sukan tu, saya memang mengejar bacaan. Bila kita baca Al-Quran ni tak mudah, banyak dugaan-dugaan dia.


“Ada saja bisikan-bisikan yang cuba mematahkan semangat kita. Sebab tu bila kita baca Al-Quran di bulan Ramadhan sangat berbeza ketika baca di bulan-bulan yang biasa. Apabila setiap kali ada perasaan ‘berat’ tu, saya akan lawan dan lawan dan lawan,” katanya.


Menurut anak kelahiran Dungun, Terengganu itu, ketika beliau membaca Al-Quran, beliau seolah-olah berada di dunia vakum (vacuum).


“Bukan vakum yang korang sedut debu-debu karpet dekat rumah korang tu, tetapi dunia vakum yang dikenali sebagai hampagas dalam hukum fizik.


“Jauh pulak saya menyimpang, maaf. Tetapi setiap kali saya membuat bacaan, saya tidak mengetahui apa yang berlaku di sekeliling saya. Saya seolah-olah berada di dimensi yang berbeza. Saya dapat lupakan seketika kepenatan dari latihan, tekanan yang berada di bahu saya dan juga segala macam masalah-masalah duniawi yang tersumbat di kepala.


“Tenang, bukan mudah untuk tenang apabila kejohanan terbesar dalam karier kita hanya ada beberapa hari saja lagi. Tapi sumpah tak tipu, memang dengan bacaan Al-Quran ni membuatkan pemikiran dan jiwa saya tidak bergelora.


“Syukur, kepada Allah saya dapat khatam bacaan pada hari Jumaat, sehari sebelum saya memulakan perlumbaan acara Keirin. Sejurus selepas khatam tu, saya terus bernazar kepada Allah dan saya meletakkan segala perihal dan urusan perlumbaan saya kepadaNya kerana Dia lah Al-‘Alim, Allah yang Maha mengetahui segalanya,” katanya

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here