Azizulhasni terima pengiktirafan ketiga dari MBR

0
469
Azizulhasni Awang

CYBERJAYA – Jaguh basikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang menerima anugerah ketiga daripada Malaysia Book Of Records (MBR) selepas kejayaan merangkul pingat perak di Sukan Olimpik Tokyo 2020, baru-baru ini.

Dalam majlis penyerahan sijil MBR hari ini, Azizulhasni diiktiraf sebagai rakyat Malaysia pertama yang memenangi pingat perak dalam acara lumba basikal trek pada Sukan Olimpik.

Azizul yang dikenali dengan jolokan The Pocket Rocketman sebelum ini memenangi gangsa pada Sukan Olimpik Rio 2016 di Brazil.

Anak kelahiran Dungun, Terengganu itu juga pernah dinobatkan sebagai juara dunia acara Keirin setahun kemudian melalui Kejohanan Dunia Berbasikal Trek UCI 2017.

Beliau yang menyertai majlis pengiktirafan MBR secara maya hari ini berkata, anugerah yang diterima itu diharap akan menjadi inspirasi kepada atlet negara ini untuk mengejar impian dan menjadi yang terbaik.

“Saya sangat gembira dengan penghargaan ini dan terima kasih kepada MBR kerana mengiktiraf pencapaian saya pada Olimpik. Saya harap ia mampu menjadi inspirasi buat atlet di Malaysia serta semua pihak di luar sana.

“Pengiktirafan seperti ini bermakna saya perlu bekerja lebih keras lagi bagi mendapatkan satu lagi pingat pada Sukan Olimpik Paris tiga tahun lagi,” katanya selepas menerima anugerah disampaikan Ketua Pegawai Operasi MBR Christopher Wong.

Atlet berusia 33 tahun itu menempa nama selepas memenangi kejuaran lumba basikal dunia di Melbourne pada 2009 dan menang pingat emas dalam acara Keirin dan pecut 200 meter Kejohanan Trek Asia pada 2008.

Azizulhasni juga terkenal dengan sikap tidak mengaku kalah apabila meneruskan kayuhan meskipun betisnya tertusuk serpihan kayu sepanjang 20cm ketika bertanding acara keirin pada Siri Piala Dunia Klasik UCI (International Cycle Union) di Manchester, England pada Februari 2011. Beliau menamatkan perlumbaan itu di tempat ketiga.

Azizulhasni sebelum ini pernah dinamakan Sportsman Malaysia Tahun pada tahun 2009 dan 2010.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here