Bekas Ketua Bahagian Bersatu minta Muhyiddin letak jawatan

0
634

Erwan Tahir

CYBERJAYA – Tan Sri Muhyiddin Yassin diminta untuk mempertimbangkan perletakan jawatan sebagai Perdana Menteri demi kepentingan negara dan rakyat.

Bekas Ketua Bahagian Bersatu Putrajaya, Erwan Tahir berkata, ia kerana ketika ini terdapat banyak kegagalan oleh kerajaan pimpinan Muhyiddin berbanding kebaikan.

“Sejak Muhyiddin memegang tampuk pemerintahan negara pada awal bulan Mac 2020, rakyat telah mengharapkan sebuah kerajaan yang jauh lebih baik daripada kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Seharusnya, Muhyiddin boleh mengambil pengajaran untuk memperbaiki seluruh aspek pentadbiran negara dan menjaga kebajikan rakyat berdasarkan pengalaman di dalam dua kerajaan sebelum ini.

“Tetapi kerajaan Muhyiddin telah gagal memenuhi harapan rakyat. Saya yang juga rakyat Malaysia telah banyak mendengar serta melihat secara jelas rungutan dan keresahan jutaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam surat yang dihantar kepada Muhyiddin untuk menyeru agar Ahli Parlimen Pagoh itu melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri.

Menurut Erwan, segala langkah yang diambil oleh kerajaan pimpinan Muhyiddin termasuk pelaksanaan darurat telah gagal terutamanya dalam mendepani wabak Covid-19.

“Setelah lebih 6 bulan perlaksanaan darurat, ternyata situasi pandemik Covid-19 tidak bertambah baik, malah semakin buruk sehingga kes jangkitan baru mencapai lebih 21,000 orang sehari,” katanya.

Selain itu katanya, kerajaan pimpinan Muhyiddin juga telah secara tidak sopan mempertikaikan budi bicara, kebijaksanaan serta bidang kuasa Kebawah Duli Yang di-Pertuan Agong dalam menguruskan penamatan darurat. 

“Sebagai rakyat Malaysia yang cintakan Raja dan Negara, tindakan politik derhaka ini adalah sesuatu yang tidak dapat diterima ramai rakyat. Majoriti rakyat juga sedang menghadapi kesusahan serta kesukaran untuk meneruskan kelangsungan hidup harian mereka sejak lebih setahun yang lalu,” katanya.

Sehubungan itu katanya, sebagai mematuhi sistem demokrasi Raja Berperlembagaan yang didokong oleh Parlimen, beliau menyeru perletakan jawatan oleh Muhyiddin secepatnya. 

“Harapan rakyat semakin pudar. Ternyata kerajaan PN pimpinan Muhyiddin telah Gagal memperbaiki situasi. Tampak jelas bahawa beliau lebih memikirkan bagaimana untuk terus mempertahankan kuasa daripada menyelesaikan masalah rakyat dan negara,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here