Beri pertimbangan kepada tawaran PM-Tony Pua

0
366
Tony Pua

CYBERJAYA – Ahli parlimen Damansara, Tony Pua nampaknya berpandangan berbeza dengan Ahli Parlimen pembangkang yang lain mengenai tawaran Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Tony Pua dalam hantaran di laman Facebooknya berkata, pembangkang perlu memberi pertimbangan kepada tawaran yang dikemukakan Muhyiddin semalam bagi hentikan kemelut politik dan demi kepentingan rakyat.

Beliau berkata, pembangkang sekurang-kurangnya juga perlus bersetuju untuk berjumpa dengan Muhyiddin bagi membincangkan cadangannya untuk ke arah mewujudkan persefahaman rentas parti.

“Apa yang hendak saya tulis tentu akan membuat banyak orang tidak senang. Pada pandangan saya, jika tidak dapat memastikan majoriti untuk Ketua Pembangkang, kita mesti memberi pertimbangan penuh kepada tawaran Muhyiddin.

“Lagi pun, semuanya adalah untuk rakyat dan tiada apa-apa yang merugikan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Semalam, Perdana Menteri menawarkan kerjasama rentas parti antara kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan parti di luar kerajaan.

Cadangan itu dibuat bagi membolehkan kerajaan terus berfungsi ketika pandemik Covid-19 dengan sokongan bipartisan di Parlimen.

Menurut Tony Pua, sebahagian rakannya dalam pembangkang menyifatkan PN lemah dan terdesak sehingga membuat tawaran itu dan ia sudah terlambat.

Namun, Tony Pua menegaskan, ia belum terlambat jika kemelut politik berterusan yang menjejaskan negara, Perdana Menteri daripada UMNO atau pilihan raya masih boleh dielakkan.

“Persoalan untuk kita dalam Pakatan Harapan (PH), adakah kita dapat menyelamatkan negara dari jurang ini?

“Jika mereka lemah dan terdesak, tidakkah ini masa terbaik untuk kita berunding dengan mereka?” katanya.

Justeru, beliau mengajak pembangkang supaya melihat manfaat cadangan Perdana Menteri itu kepada rakyat dan mengakhiri kebuntuan politik yang berlaku.

“Kita sekat kepulangan semula kleptokrat, kita halang PRU ketika wabak, kita dapat (bolehkan) PN laksanakan pembaharuan yang tidak ternilai, kita dapat kesaksamaan dalam meluluskan rang undang-undang dan akhirnya, kita dapat mengeluarkan PN pada PRU yang akan diadakan dalam masa kira-kira 10 bulan lagi,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here