Bisnes merudum teruk, lebih banyak ‘mall’ berisiko ditutup tahun ini

0
150
Suasana di pusat beli-belah Pavilion yang lengang ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengurusan Kompleks Malaysia (PPKM) melahirkan kebimbangan sekiranya lebih banyak pusat beli-belah menutup operasi sepenuhnya menjelang akhir tahun ini jika krisis pandemik Covid-19 yang berlaku ketika ini masih tidak menunjukkan sebarang tanda pemulihan.

Menurut PPKM dalam satu kenyataan, kaji selidik yang dijalankan bersama dengan Stratos Pinnacle SB menunjukkan ketika ini hanya 10 peratus hingga 20 peratus penyewa masih beroperasi di kebanyakan pusat beli belah seluruh negara.

Katanya, kira-kira 60 peratus pusat beli belah menyaksikan penutupan sehingga 10 peratus penyewa pada Disember 2020, namun jumlahnya dijangka lebih tinggi menjelang Disember tahun ini iaitu sekitar 30 peratus.

“Penutupan dan kegagalan penyewa meneruskan operasi mereka di pusat beli belah adalah disebabkan penurunan jumlah pengunjung.

“60 peratus pusat beli belah ketika ini mengalami penurunan mendadak jumlah pengunjung antara 60 hingga 90 peratus. Penurunan ini adalah konsisten di semua pusat beli belah yang kecil dan besar,” katanya.

Kaji selidik itu dijalankan terhadap 94 responden yang juga pusat beli-belah di seluruh Malaysia dengan 63 peratus daripadanya terletak di Lembah Klang.

Mengulas lanjut, PPKM berkata, prestasi jualan juga susut sebanyak 60 hingga 90 peratus, yang turut merangkumi sektor perniagaan dibenarkan beroperasi oleh kerajaan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Katanya, jika jualan sektor perniagaan yang dibenarkan beroperasi turut mengalami penurunan jualan, sektor perniagaan tidak dibenarkan beroperasi pula berdepan kejatuhan jualan lebih teruk sehingga sifar.

“Angka penurunan jualan ini adalah disebabkan oleh kekurangan pengunjung selain kuasa membeli rakyat yang semakin lemah,” katanya.

Persatuan itu berkata, pusat beli belah turut berdepan kesukaran mengekalkan aliran tunai apabila 32 peratus responden hanya dapat bertahan kurang daripada tiga bulan.

“Bagi mengatasi aliran tunai yang mendesak, 14 peratus pusat beli belah terpaksa membuang pekerja.

“Manakala, majoriti pusat beli belah mengurangkan jumlah pekerja sebanyak 10 peratus hingga 20 peratus. Bagaimanapun jumlah ini dijangka terus meningkat.

“Selain itu, 80 peratus responden memotong gaji pekerja mereka sebanyak 10 hingga 20 peratus, serta penarikan semula bonus, insentif tahunan dan faedah lain,” katanya.

Bagi mengatasi kemelut ini, PPKM menggesa kerajaan menyusun semula strategi dan menerima hakikat negara ketika ini sudah berada di era ‘endemik’, sekali gus belajar untuk terus hidup bersama pandemik ini secara selamat.

Katanya, keistimewaan kepada merekk yang menerima dua dos vaksin COVID-19 harus dibuat dengan segera bagi membolehkan kebebasan untuk rakyat bergerak, bekerja dan mencari pekerjaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here