Brazil pertahankan emas Olimpik acara bola sepak

0
80
Pemain Brazil, Antony (kiri) cuba melarikan bola daripada pemain Sepanyol, Marc Cucurella dalam perlawanan akhir bola sepak Olimpik 2020 di Stadium Antarabangsa Yokohama, sebentar tadi.

TOKYO – Brazil mempertahankan pingat emas Rio 2016 dalam acara bola sepak setelah berjaya menewaskan Sepanyol 2-1, sebentar tadi.

Dalam perlawanan di Stadium Antarabangsa Yokohama itu tadi, gol kemenangan Brazil muncul pada perlawanan waktu tambahan setelah permaian masa sebenar tamat dengan keputusan 1-1.

Brazil menerima peluang keemasan untuk membuka jaringan pada minit ke-37, apabila dihadiahkan sepakan penalti setelah penjaga gol Sepanyol, Unai Simon didapati mengasari pemain lawan, Matheus Cunha dalam kotak penalti.

Namun, sepakan penalti itu gagal disempurnakan dengan baik oleh Richarlison, yang menyepak bola melepasi palang gol Sepanyol.

Brazil akhirnya berjaya mendapatkan gol pembukaan masuk 2 minit waktu kecederaan separuh masa pertama dimainkan, menerusi jaringan pemain penyerang, Matheus Cunha.

Ketinggalan satu gol, Sepanyol semakin menggandakan asakan dalam separuh masa kedua, yang akhirnya membuahkan hasil menerusi gol penyamaan jaringan Mikel Oyarzabal pada minit ke-61.

Perlawanan masa sebenar tamat dengan keputusan 1-1 memaksa pemenang perlawanan ditentukan menerusi waktu tambahan.

Ketika perlawanan kelihatan seolah akan diheret ke penentuan sepakan penalti, penyerang gantian Brazil, Malcolm berjaya menjaringkan gol pada minit ke-108 bagi membolehkan the Seleção mendahului 2-1.

Kedudukan tersebut kekal sehingga wisel penamat ditiupkan oleh pengadil.

Dalam perlawanan penentuan pingat gangsa semalam, Mexico menewaskan tuan rumah, Jepun 3-1.

Gol-gol Mexico dijaringkan oleh Sebastian Cordova (min. 13), Johan Vasquez (min. 22) dan Alexis Vega (min. 58), manakala gol saguhati Jepun dijaringkan oleh Kaoru Mitoma pada minit ke-78.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here