
TOKYO – Skuad bola sepak Brazil Bawah-23 tahun berjaya menewaskan pasukan Mexico Bawah-23 tahun dalam peringkat separuh akhir sebentar tadi sekali gus melangkah ke perlawanan akhir untuk mempertahankan pingat emas yang dimenangi dalam temasya Olimpik sebelum ini.
Pasukan itu menang ke atas Mexico 4-1 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 0-0 sehingga tamat perlawanan.
Brazil yang dibarisi pemain-pemain bintang yang mewakili kelab ternama di Eropah bermula baik di separuh masa pertama dengan menghasilkan banyak percubaan menarik ke arah gol.
Namun ketangkasan penjaga gawang Mexico menafikan banyak peluang pasukan Brazil.
Memasuki separuh masa kedua, Brazil gagal mempamerkan aksi terbaik mereka dan terus buntu untuk mendapatkan gol.
Selepas tamat 120 minit perlawanan tanpa gol, pemenang terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti.
Kapten pasukan Brazil, Dani Alves berjaya menjaringkan gol pertama meskipun penjaga gawang Mexico telah berjaya menyentuh sedikit bola sepakan tersebut.

Bagaimanapun, pemain Mexico, Eduardo Aguirre gagal menyempurnakan penalti pertama sebelum penyerang Brazil yang bermain untuk Arsenal, Gabriel Martinelli meletakkan Brazil mendahului 2-0.
Malang untuk Mexico, pemain kedua yang mengambil sepakan tersebut iaitu Johan Vasquez turut gagal meletakkan bola ke dalam gawang gol sebelum Bruno Guimaraes meletakkan Brazil mendahului 3-0.
Pemain Mexico, Carloz Rodriguez cuba menghidupkan peluang Mexico dengan menjadikan kedudukan 3-1, namun jaringan oleh Reiner menutup terus peluang Mexico dengan menjadikan Brazil menang 4-1.-MT