Format Liga Super: FAM jawab dakwaan Faizal Azumu

0
121
Tangkap layar video yang tular oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengenai cadangan menukar format Liga Super

CYBERJAYA – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menafikan pernah berbincang untuk mengubah format Liga Super kepada 16 pasukan berbanding 12 pasukan sekarang.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, perkara sedemikian tidak pernah dibincangkan secara rasmi atau tidak rasmi bersama pihaknya.

“Merujuk kepada satu video yang telah tular di media sosial pada hari ini, FAM ingin menyatakan bahawa perkara tersebut tidak pernah dibincangkan langsung secara rasmi atau tidak rasmi oleh Persatuan ini, sama ada menerusi Presiden atau Setiausaha Agungnya dengan mana-mana pihak lain.

“FAM juga ingin memaklumkan bahawa segala keputusan atau ketetapan bagi jumlah pasukan yang beraksi pada saingan Liga Super dan Liga Premier serta penentuan jumlah pasukan yang turun dan naik bagi kedua-dua liga berkenaan adalah sepenuhnya di bawah bidang kuasa Malaysian Football League (MFL) dan ahli-ahli lembaga pengarahnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu tular video oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang mendakwa format Liga Super yang mengandungi 12 pasukan tidak mengikut format badan bola sepak antarabangsa FIFA.

Bekas Menteri Besar Perak itu berkata demikian sebagai membalas cadangan daripada peminat bola sepak sama ada terdapat cadangan supaya jumlah pasukan yang bersaing dalam Liga Super musim hadapan ditambah.

Pasukan Perak (jersi hitam) kini sedang bergelut selepas menghuni tangga kedua terbawah Liga Super.

Ia susulan prestasi merudum pasukan bola sepak Perak yang berkemungkinan jatuh ke Liga Premier sekiranya pada musim hadapan sekiranya format liga sedia ada masih dipakai.

Sebagai rekod, Perak kini menghuni tangga ke-11 liga manakala UiTM FC ditangga terakhir liga.

Selepas saingan tamat, dua pasukan terbawah pula akan bersaing dalam Liga Premier.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here