Coach Fadzil mahu Perdana Menteri yang ‘lebih baik’

0
91
Pengasas Malakat Mall, Mohd Fadzil Hashim
Pengasas Malakat Mall, Mohd Fadzil Hashim

CYBERJAYA – Pengasas Malakat Mall, Mohd Fadzil Hashim mengharapkan rakyat Malaysia diberikan pemimpin yang ‘lebih baik’ untuk mentadbir negara.

Tanpa cenderung kepada mana-mana parti, beliau mendoakan supaya Allah memberikan seorang pemimpin yang dapat mentadbir dan membawa negara ini keluar daripada kemelut yang berlaku ketika ini.

“Dari segi politik, kita tidak suka atau benci sesiapa tapi kita perlu yakin apa yang kita doakan, supaya kita dapat pemimpin yang lebih baik.

“Ia (pemimpin) mungkin orang yang sama tapi dengan susunan yang berbeza,” katanya dalam sesi Live Facebooknya hari ini.

Beliau yang lebih dikenali dengan nama Coach Fadzil berkata, kesejahteraan sesebuah negara amat bergantung kepada kemampuan seorang pemimpin untuk mentadbir ‘pasukannya’ dan tidak terletak pada kemampuan dirinya secara bersendirian.

“Macam pasukan bola sepak, kalau semua pemain sudah bagus tapi pengurus pasukan tidak buat kerja dengan betul, akan jadi caca merba juga.

“Begitu juga dalam organisasi dan perniagaan. Bahkan perniagaan saya sendiri pun tunggang-langgang tapi selalu kena susun tiap kali ada kesilapan,” katanya.

Beliau membuat kenyataan itu beberapa jam sebelum pengumuman perletakkan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri petang ini selepas beliau hilang sokongan majoriti Dewan Rakyat.

Muhyiddin hari ini mengumumkan perletakan jawatan sebagai Perdana Menteri bersama dengan barisan anggota Kabinetnya selepas bertemu dengan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara tengah hari tadi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here