
BANDAR SRI BEGAWAN – Kementerian Kesihatan Brunei melaporkan penemuan lapan kes baharu di negara itu, hari ini.
Menurut kementerian dalam satu kenyataan, tujuh daripada kes yang dikesan tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara, dengan lima daripadanya mempunyai kaitan dengan sebuah pusat pemantauan di negara tersebut.
“Kluster ini dipercayai berkemungkinan telah terdedah kepada salah seorang kes import yang tiba di Brunei,” kata kenyataan itu.
Dua lagi kes penularan tempatan, melibatkan lelaki berumur 54 dan 34 tahun bagaimanapun, belum dapat dipastikan puncanya.
Satu kes import yang dikesan melibatkan seorang lelaki yang tiba dari Timur Tengah pada 30 Julai lalu.
“Kes ini mula menunjukkan tanda-tanda jangkitan ringan pada 3 Ogos.
“Hasil siasatan turut mendapati, individu itu telah menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19,” kata kenyataan itu lagi.