Covid-19: Kes harian 20,897, dos vaksin turun kepada 361,381

0
23
Program Vaksinasi Bergerak Wilayah Prihatin di PPR Perkasa, Jalan Cochrane. Foto / FaridJanudin

CYBERJAYA – Sebanyak 20,897 kes baharu Covid-19 dilaporkan dalam tempoh 24 jam yang lalu berbanding 19,268 semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi ciapan di Twitter berkata, angka terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes di negara ini sebanyak 1,746,254.

Beliau berkata, Selangor kekal merekodkan kes tertinggi iaitu sebanyak 4,371 kes diikuti Sabah (2,594), Sarawak (2,285), Johor (2,159), Kedah (1,942), Pulau Pinang (1,732), Kelantan (1,479) dan Perak (1,204).

Sementara Perlis dan Putrajaya merekodkan kes baharu dua angka iaitu masing-masing 64 kes dan 25 kes manakala Labuan, hanya satu kes baharu dicatatkan pada Selasa.

Sementara itu Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin (JKJAV) melaporkan sebanyak 361,381 dos vaksin diberikan semalam melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di seluruh negara.

Pertambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan dos vaksin yang diberikan di seluruh negara meningkat kepada 34,388,929 dos.

Melalui perkongsian media sosial itu, JKJAV berkata, setakat pukul 11.59 malam tadi, sebanyak 181,281 menerima suntikan dos pertama dan 180,100 bagi dos kedua.

Jumlah peratusan vaksinasi terkini bagi populasi di negara ini juga mencatatkan peningkatan dengan sebanyak 83.6 peratus atau 19,560,239 individu sudah melengkapkan dos pertama, manakala, 63.3 peratus atau 14,828,690 individu lengkap dua dos vaksin Covid-19.

Labuan mencatatkan peratusan vaksinasi lengkap bagi populasi dewasa tertinggi mengikut negeri iaitu sebanyak 93.5 peratus, diikuti Lembah Klang (91.1 peratus), Sarawak (86.8 peratus), Negeri Sembilan (78.4 peratus) dan Perlis (66.1 peratus).

Johor pula mencatatkan pecutan jumlah pemberian vaksin harian apabila sebanyak 31,363 dos pertama dicatatkan, manakala, 26,615 dos kedua dicatatkan.

Negeri kedua kadar vaksinasi harian tertinggi pula ialah Sabah apabila sebanyak 17,728 dos pertama dicatatkan, manakala, 21,000 dos kedua dicatatkan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here