Covid-19: Mula nampak sinar di hujung terowong

0
157
Gambar keadaan di Hospital Sungai Buloh

CYBERJAYA – Keadaan yang membimbangkan kes jangkitan Covid-19 terutamanya di Lembah Klang mula menunjukkan sinar kemenangan sejak beberapa minggu lalu apabila jumlah kemasukan pesakit baharu mencatatkan penurunan.

Berkongsi berita gembira itu, pakar anestesiologi dan rawatan rapi Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Noorulhana Sukarnakadi Hadzarami berkata, berdasarkan pemantauan jumlah pesakit warga emas mula mencatat penurunan sejak bulan lalu.

Katanya, jumlah kemasukan pesakit tempatan di hospital Lembah Klang pula mula mencatat penurunan bermula minggu lalu, dengan kebanyakan pesakit baharu ketika ini adalah dalam kalangan warga asing.

Dr Noorulhana Sukarnakadi menyifatkan penurunan kes itu sebagai titik cahaya di hujung terowong yang memberi harapan bahawa kejayaan mengawal pandemik itu semakin hampir.

“Rujukan daripada dari ED (Jabatan Kecemasan) kepada pasukan ICU (unit rawatan rapi) untuk pesakit Covid-19 kritikal semakin berkurang.

“Kalau dulu, panjang senarai menunggu di papan tulis ICU dengan kertas bersambung-sambung sebab tak cukup ruang. Sekarang dah nampak sedikit ruang.

“Kalau dulu, mayat berbungkus berselang-seli dengan katil pesakit hidup dan kanvas memenuhi segenap ruang dan laluan di ED. Sekarang dah nampak lantai.

“Jumlah pesakit kategori ringan mungkin masih ramai tetapi mereka cuma perlukan pemantauan dan rawatan di wad saja. Masih ada rujukan pesakit Covid-19 kritikal ke ICU dalam kalangan warganegara, namun terdiri daripada mereka yang tolak vaksinasi,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Dalam pada itu, Dr Noorulhana Sukarnakadi turut memaklumkan berita gembira mengenai kesan inokulasi, apabila pesakit Covid-19 yang pernah divaksin sembuh lebih cepat berbanding yang tidak divaksin.

Katanya, empat pesakit yang menerima vaksin hanya memerlukan bantuan pernafasan selama tiga hingga empat hari, berbanding dua hingga tiga minggu bagi pesakit yang tidak sempat menerima vaksin.

“Mereka pulih dengan X-ray dada yang bersih berbanding dengan majoriti yang rabak paru-parunya (bagi yang belum terima vaksin), belum masuk yang sudah meninggal dunia.

“Tak sabar nak jadi macam Sarawak. Di sana pesakit Covid-19 kritikal di ICU hanya tiga orang, sejajar dengan kelajuan dan keluasan kadar vaksinasi mereka,” katanya.

Di sebalik berita positif itu, Dr Noorulhana Sukarnakadi tetap mengingatkan bahawa jumlah pesakit di ICU masih ramai hasil kemasukan sejak sebulan lalu, di samping jumlah pesakit meninggal dunia di rumah (BID) yang masih tinggi.

“Kita belum lagi menang. Kita berusaha dan bertawakal. Insya-Allah, vaksin berkesan,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here