Dakwaan pesakit jatuh di hospital lambat dapat rawatan tak benar

0
195
Seorang pesakit warga emas meninggal dunia selepas terjatuh di sebuah hospital di Sungai Petani, Kedah

ALOR SETAR – Jabatan Kesihatan negeri Kedah menafikan mengambil masa sehingga 30 minit sebelum memberi bantuan kepada pesakit Covid-19 yang jatuh di wad di sebuah hospital di Sungai Petani seperti yang tular di media sosial semalam.

Pengarahnya, Dr Othman Warijo berkata, pesakit tersebut terus diperiksa pegawai perubatan selepas dimaklumkan mengenai kejadian itu pada pukul 2.25 petang.

“JKN melakukan siasatan segera selepas lelaki terbabit didakwa lewat mendapat bantuan petugas hospital. Pada hari kejadian, setelah rondaan wad pagi selesai, pegawai perubatan serta jururawat menanggalkan pakaian perlindungan diri (PPE) kira-kira jam 1.45 tengah hari.

“Pada jam 2.25 petang, petugas wad diberitahu seorang pesakit telah jatuh dari katil. Pegawai perubatan bertugas bergegas memakai PPE lengkap dan terus memeriksa pesakit yang didapati terbaring di lantai wad, pemakaian PPE telah mengambil masa kira-kira lima minit.

“Ketika itu, pesakit didapati tiada lagi tanda-tanda hidup. Pesakit telah dinaikkan semula ke katil dan disahkan meninggal dunia dan punca kematian pesakit adalah Severe Covid-19 Pneumonia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam tular video berdurasi 37 saat memaparkan pesakit lelaki warga emas
yang memakai kain tanpa baju, berjalan dalam keadaan lemah sebelum terjatuh.

Penyebar video berkenaan mendakwa pesakit berkenaan yang meninggal selepas terjatuh tidak diberikan rawatan segera sebaliknya hanya diperiksa oleh petugas kesihatan selepas 30 minit kejadian.

Mengulas lanjut, Dr Othman berkata, pesakit adalah seorang warga emas yang telah dimasukkan ke wad Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani, pada Khamis lalu setelah dirujuk oleh Pusat Penilaian Covid-19 Daerah Kuala Muda.

Katanya, pesakit mempunyai sejarah beberapa penyakit kronik dan dijangkiti Covid-19 kategori empat yang memerlukan bantuan oksigen.

“Sepanjang berada di wad, keadaan pesakit kurang stabil dan memerlukan tekanan oksigen yang semakin tinggi. Pesakit itu bagaimanapun kelihatan tidak selesa dengan alat bantuan oksigen yang dipakaikan dan dipantau dengan lebih kerap oleh petugas kesihatan yang boleh bertutur dalam bahasa ibunda pesakit bagi memantapkan komunikasi,” katanya.

Dr Othman berkata, pakar perubatan telah bertemu dengan ahli keluarga pesakit pada petang yang sama dan menjelaskan situasi sebenar kejadian semalam.

Katanya, ahli keluarga sememangnya telah maklum keadaan pesakit yang kian merosot sebelum itu dan menerima baik penjelasan yang diberikan pihak hospital.

“Pihak jabatan mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang dan kesal atas penularan video berkenaan yang tidak sepatutnya berlaku.

“Justeru kami meminta orang ramai menghentikan penularan video berkenaan bagi menghormati keluarga mendiang,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here