DAP terima tawaran anggotai MPN secara bersyarat

0
1314
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng – foto/FaridJanudin

CYBERJAYA – DAP sedia menerima tawaran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk pimpinan pembangkang menganggotai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19 jika tawaran itu bukan sekadar ‘cukup syarat’.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, tawaran itu perlu membenarkan pihak pembangkang menjalankan fungsi mereka dalam membaiki kelemahan dalam pentadbiran kerajaan.

“Demi keselamatan nyawa dan mata pencarian, DAP sanggup mempertimbangkan tawaran kerajaan untuk kepimpinan pembangkang menyertai MPN dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.

“Asalkan bukan sekadar tangkap muat dan menjadi ‘rubber stamp’ kerajaan semata-mata.

“Yang menang tidak menang semua dan yang kalah tidak kalah semua,” katanya menerusi Twitter, semalam.

Ismail Sabri dalam ucapan sulungnya selepas dilantik menjadi Perdana Menteri Ke-9 semalam menawarkan peluang kepada pihak pembangkang untuk menganggotai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19.

Tawaran kerjasama rentas parti itu menurut beliau bertepatan dengan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya kepimpinan baharu negara melupakan segala perbezaan demi kesejahteraan rakyat.

Katanya, tawaran itu juga selari dengan usaha untuk menyediakan pasukan pentadbiran yang akan berkhidmat membantu negara keluar dari kemelut kesihatan dan ekonomi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here