Dihalau majikan, kini jadi taukey nasi lemak popular di Cyberjaya

0
26690
Orang ramai beratur seawal 7.30 pagi untuk membeli nasi lemak yang dijual Rahashidan Harun, 50 di Jalan Impak, Cyber 6, Cyberjaya.

KEHILANGAN rumah yang menjadi tempat seisi keluarga berteduh pastinya sesuatu yang perit untuk diterima. Apatah lagi bagi seorang bapa yang sedang membesarkan anak-anak kecil.

“Macam jatuh bankrap. Bahkan jauh lebih ‘hina’ dari itu. Rumah yang kami diami sejak dua tahun lalu bukan lagi tempat untuk kami berteduh.

“Kami dihalau keluar dari rumah tanpa sebarang pertimbangan. Nasib baik ada ruang di basement pangsapuri ini untuk kami sekeluarga menumpang tidur,” luah Rahashidan Harun, 50, ketika ditemui Malakat Tribune, baru-baru ini.

Kisah Rahashidan bersama isteri dan enam orang anaknya yang terpaksa ‘berpindah’ ke basement di bahagian bawah sebuah pangsapuri di Cyberjaya baru-baru menjadi topik perbualan nitizen selepas tular di media sosial.

Menceritakan kejadian itu, Rahashidan berkata, dia dan keluarganya diarahkan keluar dari rumah oleh majikannya selepas berselisih faham.

“Kejadian berpunca dari sedikit salah faham pada 8 Julai lalu apabila majikan menuduh saya dan rakan-rakan tempat kerja membuka gerai jualan nasi lemak tanpa kebenarannya.

“Sedangkan kami mengambil keputusan membuka gerai di depan restoran tempat kami bekerja itu untuk membantu perniagaan restoran dia (boss) yang terjejas teruk akibat PKPD.

Rahashidan Harun

“Tujuan kami untuk mendapatkan modal tambahan untuk beli barang-barang keperluan di restoran yang sentiasa kehabisan stok, seperti Milo dan sebagainya,” katanya yang juga mendakwa separuh daripada gajinya dipotong sepanjang PKPD.

Bagaimanapun katanya, ‘inisiatif’ yang dilakukan itu telah disalah-ertikan majikannya dan dituduh ‘mencuri harta syarikat’ tanpa memberi peluang untuk dia dan rakan-rakan lain membela diri.

Selepas kejadian itu Rahashidan berkata, majikannya terus menghalau dia keluar dari rumah sewanya.

“Saya diarahkan keluar serta-merta pada petang itu kira-kira pukul 6 petang. Anak saya yang kecil ketika itu sedang makan, memang sedih dan terkilan rasanya.

“Saya akur walaupun sebahagian daripada bayaran sewa rumah itu saya bayar sendiri. Sedih sebab anak-anak yang terpaksa menanggung semua itu,” katanya.

Rahashidan berkata, kisah keluarganya bermalam di basement kemudian sampai ke pengetahuan pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sehingga mereka sekeluarga dipindahkan ke penempatan sementara keesokan harinya.

“Anak lelaki saya pada mulanya sekadar bercerita kepada beberapa orang kawannya dalam WhatApps. Salah seorang daripada mereka ada abang yang aktif dalam NGO. Tak sangka benda ni jadi viral.

“Selepas viral, banyak pihak yang datang memberi bantuan antaranya Jabatan Kebajikan Masyarakat, Masjid Mustapha Kamal Cyber 10, Lembaga Zakat dan komuniti prihatin Cyberjaya, ” katanya yang kini tinggal di pangsapuri MasReca, Cyber 10.

Rahashidan Harun dibantu isterinya menyediakan nasi lemak untuk dijual di Jalan Impak, Cyber 6.

Menurut Rahashidan, walaupun masih lagi terkilan dengan tindakan bekas majikannya, dia sudah move-on dan bersyukur kepada Allah atas percaturannya yang ternyata membuka peluang lebih baik kepada dia dan keluarganya.

Dengan sedikit modal dikumpul, beliau yang dibantu isteri berpengalaman sebagai cef kini memulakan perniagaan nasi lemak untuk menampung perbelanjaan keluarga.

Gerai nasi lemak yang dibuka setiap pagi berhampiran dengan Shaftsbury Residences dan bangunan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di Jalan Impak, Cyber 6 di sini kini tidak pernah lengang daripada pelanggan.

“Saya berterima kasih rakyat Malaysia khususnya kepada komuniti Cyberjaya yang tidak putus memberi sokongan kepada perniagaan kami,” katanya.

Orang ramai yang ingin membuat tempahan nasi lemak atau nasi berlauk boleh menghubungi Rahashidan di talian 017-2557598.

Rahashidan Harun (tengah) bersama isteri menerima sumbangan barangan keperluan yang disumbangkan oleh pihak Malakat Mall di kediamannya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here