Dine-in di negeri fasa 1 PPN dibenarkan bermula esok

0
359
Aktiviti dine-in di negeri fasa 1 PPN dibearkan bermula Jumaat ini

CYBERJAYA – Bermula esok, kerajaan membenarkan aktiviti dine-in atau makan dalam restoran di negeri-negeri fasa satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan syarat individu berkenaan telah lengkap menerima dos vaksin.

Perdana Menteri sementara, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pemilik premis kedai makan perlu pastikan mereka yang memasuki premis untuk dine-in mesti menunjukkan sijil digital vaksinasi Covid-19 yang menunjukkan bahawa individu tersebut telah menerima vaksinasi lengkap.

“Saya ingin menyarankan kepada pengusaha-pengusaha premis kedai makan supaya menyediakan lebih banyak ruang tempat makan di bahagian luar premis bagi pengudaraan yang lebih baik.

“Risiko penyebaran virus Covid-19 adalah jauh lebih tinggi di dalam premis berbanding di luar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, bagi pasangan yang telah menerima vaksinasi lengkap dan ingin membawa anak-anak berusia 17 tahun dan ke bawah untuk dine-in di premis kedai makan, pastikan mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan juga membenarkan lebih banyak aktiviti sukan, rekreasi dan riadah tanpa sentuhan fizikal dan bukan berkumpulan beroperasi bagi negeri-negeri fasa satu PPN dan seterusnya.

Katanya, aktiviti sukan dan rekreasi amat penting bagi memastikan tahap kesihatan minda dan kecergasan fizikal yang baik.

“Oleh itu, aktiviti ini dibenarkan dengan mematuhi penjarakan fizikal dan dilakukan di kawasan terbuka (outdoor) termasuk separa terbuka bermula jam 6 pagi hingga 10 malam.

“Aktiviti dine-in di restoran atau kafe di premis club house adalah dibenarkan selaras dengan kebenaran dine-in. Pemilik premis perlu pastikan mereka yang memasuki premis untuk dine-in mesti menunjukkan sijil digital vaksinasi Covid-19 (digital certificate COVID-19 vaccination) yang menunjukkan bahawa individu tersebut telah menerima vaksinasi lengkap.

“Operasi bilik persalinan atau bilik mandi di premis club house adalah tidak dibenarkan. Ini bagi mengelakkan perkumpulan selepas bersukan dan mengurangkan risiko jangkitan.

“Aktiviti yang dibenarkan adalah seperti jogging, senaman, taichi, berbasikal, skateboarding, memancing, ekuestrian, memanah, mendaki, tenis (single), badminton (single), golf, permotoran dan seumpamanya. Aktiviti yang dibenarkan juga termasuklah perkelahan dan perkhemahan,” katanya.

Sementara itu, katanya, penyertaan anak-anak berusia 17 tahun dan ke bawah adalah dibenarkan dengan pematuhan SOP yang ketat.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here