
CYBERJAYA – Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) menyifatkan penyebaran surat yang didakwa dari Yang di-Pertuan Agong kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin oleh beberapa individu sebagai suatu tindakan yang tidak beretika.
Kata Timbalan Ketua DPMM, Ahmad Fadhli Shaari, pihaknya memandang serius perkara berkenaan dan menggesa pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan siasatan bagi mengenalpasti punca kebocoran surat itu.

“Suatu laporan polis akan dibuat bagi menggesa siasatan dilakukan untuk melihat sama ada wujudnya unsur khianat dan sabotaj dari penyebaran surat tersebut.
“Kita telah mengarahkan semua Dewan Pemuda Pas Negeri dan kawasan untuk membuat laporan polis,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau menambah, Pemuda Pas menyifatkan perbuatan itu sebagai suatu tindakan yang boleh menggugat kestabilan dan keharmonian negara, kerana menampakkan seolah berlakunya krisis di antara Istana dan Eksekutif.
“Sepatutnya ruang diberikan kepada kedua-dua pihak untuk menyelesaikan isu ini berlandaskan undang-undang dan kerangka Perlembagaan Persekutuan, bukan dimarakkan lagi pertembungan,” kata kenyataan itu lagi.