Dua anggota polis maut kemalangan ketika kejar mat rempit

0
272
Gambar hiasan

KAJANG – Dua anggota polis maut selepas motosikal yang ditunggang mereka bertembung dengan motosikal lain ketika mengejar mat rempit di Lebuh Raya Kajang SILK (SILK), awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, dalam kejadian pada pukul 1.30 pagi itu di Lebuhraya SILK menghala ke Putrajaya itu, kedua-dua anggota maut di tempat kejadian akibat kecederaan di bahagian kepala dan muka.

Mohd Zaid berkata, kejadian berlaku semasa mangsa sedang bertugas dalam Operasi Samseng Jalanan oleh Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (BPSTD) Kajang.

“Siasatan awal mendapati motosikal jenis Yamaha RXZ yang ditunggang oleh Sarjan Mohd Arifah Md Yasin dan Konstabel Mohd Muradzi Mohd Nawi bertembung dengan sebuah motosikal jenis Yamaha 115Z di KM 24.4 Lebuh Raya SILK.

“Kedua-dua anggota yang mengalami kecederaan parah di bahagian muka dan kepala tersebut maut di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Zaid, Sarjan Mohd Arifah, 36, merupakan anggota trafik manakala Konstabel Mohd Muradzi, 26, pula adalah anggota Cawangan Jenayah (D4) yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.

Sementara itu, mayat mangsa dibawa ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat dan semua kenderaan yang terlibat dibawa ke Balai Trafik IPD Kajang untuk membantu siasatan.

Sehubungan itu, menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here